Dua Ahli Parlimen PH dari Selangor menggesa kerajaan negeri membeli semula keseluruhan 169 ekar tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, sambil menuntut ketelusan penuh berhubung sejarah dan urus niaga tanah berkenaan.
Dalam kenyataan media bersama, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata sekiranya kerajaan negeri tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk berbuat demikian, mereka bersedia membantu dengan meneroka pilihan serta jalan penyelesaian alternatif.
Menurut mereka, Pejabat Parlimen Subang mengambil inisiatif sendiri melakukan carian melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, bagi menjejak maklumat berkaitan tanah-tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, selepas dua surat Wong kepada kerajaan negeri sebelum ini tidak menerima sebarang maklum balas.
"Hasil carian, walaupun tidak lengkap, mengenal pasti kira-kira 139 ekar daripada 169 ekar tanah itu, melibatkan Lot PT 53649, 53654, 53660, 53916, 53917, 53924 dan 83355," kata mereka.
Katanya, bagi Lot PT 53649, 53654, 53660, 53916, 53917 dan 53924 yang berkeluasan keseluruhan 0.78 ekar, urus niaga dilaporkan berlaku pada 21 September 2012 dengan Perano Properties Development Sdn Bhd sebagai pembeli.
Lot-lot ini dijual oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan harga keseluruhan RM468,824 atau RM13.80 bagi setiap kaki persegi.

Sementara itu, Lot PT 83355 seluas 138.35 ekar dijual pada 5 Ogos 2019, hampir tujuh tahun selepas urus niaga pertama, kepada syarikat yang sama oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) pada harga RM83.17 juta, juga pada kadar RM13.80 setiap kaki persegi.
Wong dan Lee bagaimanapun berkata baki 29.87 ekar tanah masih belum dikenal pasti, namun berdasarkan anggaran menggunakan kadar harga yang sama, nilai transaksi bagi tanah baki itu dianggarkan sekitar RM17.96 juta.
"Kami berpandangan bahawa Kerajaan Negeri seharusnya membuat tawaran untuk membeli semula kesemua tanah tersebut pada harga asal yang dijual kepada Perano Properties Development Sdn Bhd, ditambah dengan kadar faedah kompaun tahunan sebanyak 8%. Berdasarkan kaedah pengiraan ini, nilai tanah bagi keseluruhan 169 ekar tersebut kini dianggarkan sekitar RM193 juta.
"Kami menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk terus melibatkan kami serta mendedahkan sepenuhnya kronologi peristiwa dan kesemua urus niaga yang melibatkan 169 ekar tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara.
"Sekiranya pengiraan kami tepat, kami menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan cadangan membeli semula kesemua tanah tersebut daripada Perano Properties Development Sdn Bhd. Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk berbuat demikian, kami bersedia membantu dengan meneroka pilihan dan jalan penyelesaian lain," kata mereka.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor dituntut mendedahkan kronologi sejarah tanah seluas 169 ekar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong yang dikatakan akan dimajukan.
Wong malah menuntut harga transaksi tanah didedahkah atas kebimbangan “kos pengambilalihan yang mungkin ditanggung oleh pembayar cukai”.
Pada Nov lalu, dilaporkan sekumpulan penduduk mengadakan bantahan di Taman Tasik Wawasan, Puchong bagi membantah pembangunan projek tersebut sekali gus mendesak Adun Kinrara, Ng Sze Han, menjelaskan butiran cadangan pembangunan di kawasan itu.
Bantahan tersebut dibuat susulan kebimbangan penduduk terhadap kemungkinan kesesakan lalu lintas, risiko alam sekitar serta kehilangan kawasan hijau di sebuah bandar yang sudah sedia padat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum perhimpunan itu, Ng berkata tanah yang dipertikai itu bukan sebahagian daripada hutan simpan, sama ada bawah seliaan Jabatan Perhutanan Selangor atau Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) Universiti Putra Malaysia.
Ng berkata MBSJ belum menerima sebarang permohonan pembangunan daripada pemilik tanah.
Sementara, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Jamaliah Jamaluddin menjelaskan tanah seluas kira-kira 169 ekar berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong sudah lama tidak berstatus Hutan Simpanan Kekal, iaitu selama 99 tahun.
Adun Damansara Utama itu berkata semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mendapati kawasan berkenaan telah dinyah warta seawal 1926.
