Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Pembangkang hari ini menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan Putrajaya bagi mengehadkan jawatan seseorang sebagai perdana menteri hanya kepada dua penggal.

Pun begitu, pembangkang menetapkan bagi jawatan Perdana Menteri, namun dengan satu syarat.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut), menjelaskan mereka mahu had tempoh tersebut disertakan dengan klausa yang turut menghalang seseorang perdana menteri memegang portfolio kewangan pada masa yang sama.

"Cadangan untuk memisahkan tanggungjawab perdana menteri dan menteri kewangan adalah jauh lebih penting daripada melihat tempoh masa perkhidmatan seorang perdana menteri.

"Ini bermakna PN tiada masalah untuk menyokong had dua penggal jawatan perdana menteri tetapi dengan beberapa syarat, antaranya perdana menteri tidak boleh memegang jawatan sebagai menteri kewangan.

"Pendirian kami ini selari dengan prinsip kebertanggungjawaban dan pengasingan kuasa," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu menambah, penekanan diberikan kepada portfolio kewangan, dan pembangkang tidak bermasalah jika perdana menteri memegang kementerian lain.

Hal itu kerana, kata Hamzah, menteri kewangan mempunyai kuasa yang sangat luas.

Sementara itu, Hamzah turut membangkitkan rancangan kerajaan untuk membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

"Persoalannya ialah, sekiranya ia dibentangkan semula pada sidang kali ini, mengapa anggota kabinet dari Umno membenarkannya untuk berlaku?

"Padahal terdapat kebimbangan serius tentang kesan jangka panjang ke atas rakyat.

"Sebab itu bermacam-macam bantahan dibuat oleh parti politik bersama-sama dengan masyarakat sivil dan kumpulan NGO - baik di dalam mahupun di luar parlimen.

"Kepada kerajaan, saya sekali lagi nak peringatkan, sebelum membuat sebarang dasar, lihat secara terperinci kepentingan semua pihak. Jangan hanya kerana memiliki kuasa, kerajaan bertindak tyranny of the majority," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS