Amanah menasihatkan Abdul Hadi Awang agar selalu berlapang dada menguruskan perbezaan pendapat dan pendekatan politik, selain bercakap secara rasional termasuk ketika membicarakan masa depan Melayu.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Zamir Ghazali, berkata kenyataan retorik yang mengheret emosi serta memecah-belahkan orang ramai tidak akan membantu menyelesaikan sebarang cabaran yang dihadapi bangsa serta negara.
Katanya, perbezaan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup ruang dialog atau menolak usaha mencari titik pertemuan demi kebaikan bersama.
"Pada masa yang sama, Amanah mengesa Presiden PAS berhenti melabel dan menghina sesama Islam dengan istilah-istilah yang mencederakan persaudaraan seperti syaitan bisu atau seumpamanya.
"Bahasa sebegini bukan saja mencemar wacana politik, malah bercanggah dengan akhlak Islam serta bertentangan dengan adab Melayu yang menjunjung tinggi kesantunan, hikmah dan hormat-menghormati," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Abdul Hadi menegaskan PAS enggan bekerjasama dengan gagasan penyatuan bangsa Melayu dan Islam atas alasan wujudnya "syaitan bisu" dalam kerajaan.
Dia juga secara berkias menggambarkan Umno sebagai sebuah kapal yang sedang bermasalah dan menunggu masa untuk karam.
Ahli Parlimen Marang itu mengulas gagasan dilontarkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengenai cadangan penggabungan parti-parti Melayu di negara ini.
Gagasan itu dikenali sebagai gabungan agung.

Zamir berkata pendekatan melalui kaedah takfiri, melabel dan mencela sama sekali tidak mencerminkan sunnah politik Islam.
Malah, katanya, sejarah silam turut menunjukkan para sahabat Rasulullah sendiri menunjukkan teladan bagaimana sesuatu perbezaan pandangan patut diuruskan.
Sejarah tradisi Melayu pula, tambahnya, mengajarkan bahawa ketegasan boleh dizahirkan tanpa merendahkan maruah orang lain
Katanya, Amanah percaya masa depan Melayu dan umat Islam hanya akan terjamin melalui politik matang dan sejahtera seperti yang diuar-uarkan PAS, bukannya melalui celaan, tuduhan, label menghina.
"Atas dasar ini, saya mengajak semua pihak termasuk wakil Tan Sri Abdul Hadi untuk duduk semeja membincangkan maslahah rakyat, kestabilan negara dan kebajikan ummah.
"Rapatkanlah saf jemaah, barulah tiada syaitan di antara kita," katanya.
