Susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim awal hari ini, Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sing, menyambut baik langkah "pembukaan pintu bersyarat" bagi pelajar Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
"Perdana Menteri telah membuka pintu tersebut, sudah tentu terdapat syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.
Dalam temu bual bersama Malaysiakini, Tan menyatakan, Dong Zong tidak menentang syarat yang dicadangkan oleh Anwar memandangkan ia selaras dengan piawaian yang sama dikenakan terhadap calon dari sekolah menengah kerajaan yang lain.
Dia menambah keputusan kerajaan kali ini adalah bersifat inklusif dan pelbagai, justeru ia mencukupi untuk menggalakkan pelajar dari pelbagai aliran sekolah untuk memasuki sistem nasional dan universiti awam.
"Mengenai kenyataan perdana menteri bahawa pendidikan lanjutan tidak lagi menjadi isu asalkan pelajar sekolah penengah persendirian Cina menduduki peperiksaan SPM bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah, Dong Zong bersedia untuk mengekalkan sikap terbuka dan mengadakan perbincangan lebih terperinci dengan agensi kerajaan berkaitan mengenai piawaian dan langkah-langkah khusus," katanya.
Tan turut menegaskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kadar kelulusan bagi subjek Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang menduduki peperiksaan SPM secara tekal berada di atas 96 peratus.
"Sebarang dakwaan bahawa sistem sekolah menengah persendirian Cina meminggirkan atau mengabaikan bahasa Melayu adalah tidak benar dan spekulasi yang tidak berasas.
"Selain selain mengambil subjek Bahasa Melayu, mereka juga mengambil subjek Sejarah untuk mendapatkan sijil SPM. Ini adalah perkara biasa bagi calon sekolah menengah persendirian Cina yang mahu untuk memperoleh sijil SPM," katanya.

Bagaimanapun, Tan agak keberatan terhadap cadangan mewajibkan semua pelajar sekolah menengah persendirian Cina menduduki subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.
Dia menjelaskan walaupun kira-kira 80 pelajar aliran itu menduduki SPM, tidak semua mereka bercadang untuk memasuki sistem nasional.
Tambahan pula, katanya, UEC sedia ada sudah merangkumi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah, maka pelajar seharusnya diberi ruang untuk memilih.
Bukan sekadar isu pendidikan
Tan juga menekankan bahawa Dong Zong patuh kepada perlembagaan dan bersetuju bahawa setiap warganegara mesti menguasai dan menghargai bahasa Melayu.
"Dong Zong menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri masing-masing, termasuk Perkara 152 yang jelas menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Kami bersetuju bahawa menguasai bahasa Melayu adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh setiap warganegara. Oleh itu, Bahasa Melayu sentiasa menjadi subjek wajib di semua sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara dan merupakan komponen teras dalam kurikulum serta sukatan pelajaran UEC," katanya.
Tan menambah, Dong Zong menyokong langkah pemerkasaan berterusan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu merentas semua sistem pendidikan di negara ini.
Hal itu, katanya, selaras dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
"Ini bukan sekadar isu pendidikan, tetapi faktor utama dalam mengekalkan keharmonian sosial semasa proses pembinaan negara," katanya.
Pada masa sama Tan mengingatkan bahawa perlembagaan negara menjamin hak rakyat untuk bebas mengajar dan mempelajari bahasa ibunda masing-masing.
Malah, katanya, perkara itu dinyatakan dengan jelas dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan.
