Menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi BN hari ini, Perikatan Nasional (PN) dikatakan telah meluluskan permohonan MIC untuk menyertai PN, sekali gus menandakan perubahan besar dalam landskap gabungan pembangkang itu.
Sekurang-kurangnya tiga sumber dalaman Bersatu dan PN memaklumkan kepada Malaysiakini, bahawa keputusan tersebut didakwa dicapai dalam satu mesyuarat pimpinan tertinggi PN yang berlangsung pada 9 Disember lalu.
"Dalam mesyuarat berkenaan, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, dilaporkan memberi penjelasan panjang lebar mengenai sepucuk surat yang dikemukakan oleh kepimpinan MIC dan perjumpaan dengan pimpinan MIC.
"Muhyiddin menekankan kepentingan MIC dan parti politik lain dalam memperkukuhkan jentera gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Alasan utama penerimaan MIC adalah bagi membolehkan PN menarik sokongan pengundi bukan Melayu, dengan fokus khusus kepada masyarakat India yang menjadi penentu di banyak kerusi bandar," kata sumber itu.
Tambahnya, mesyuarat telah bersetuju untuk menerima MIC sebagai komponen, walaupun mendapat tentangan daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
MIPP, yang merupakan ahli baru dalam PN, dikatakan tidak bersetuju pada masa ini dan meminta untuk menangguhkan penyertaan MIC kerana parti itu masih merupakan komponen BN.
Malaysiakini telah menghubungi pemimpin MIPP untuk mendapatkan ulasan.
Sekiranya dakwaan ini benar, ia akan menandakan perubahan bersejarah buat gabungan BN sendiri yang dianggotai MIC sejak penubuhan gabungan itu pada 1973.
Malah, MIC sekutu Umno sejak penubuhan Perikatan pada 1955.

Nafi hantar surat permohonan
Sebelum ini, pada Nov tahun lepas Muhyiddin mendakwa MIC telah menyerahkan permohonan untuk menyertai PN.
Muhyiddin berkata Majlis Tertinggi PN akan meneliti perkara itu dalam mesyuarat pada bulan Disember sebelum membuat keputusan rasmi.
Namun, MIC menafikan membuat sebarang permohonan menyertai PN.
Setiausaha Agung MIC, S Ananthan menjelaskan bahawa surat yang dihantar kepada PN bukan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan itu, sebaliknya bertujuan mendapatkan maklumat awal sebelum parti itu membuat sebarang keputusan.
Katanya, surat berkenaan dihantar empat hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti bagi membolehkan MIC memahami dengan lebih mendalam pendirian PN.

Tambahnya, tindakan menghantar surat itu dibuat selepas beberapa pemimpin PAS termasuk Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengundang MIC untuk mengadakan pertemuan dan mempertimbangkan penyertaan dalam PN.
Dia turut menjelaskan bahawa MIC meminta penjelasan lanjut mengenai komitmen PN terhadap pembangunan masyarakat India, termasuk isu pendidikan, sosioekonomi dan representasi politik.
MIC sebelum ini beberapa kali menyatakan bahawa sedang menilai kemungkinan untuk keluar daripada BN ekoran rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik mereka, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjalin kerjasama dengan PH.
Selain MIC, satu lagi komponen utama BN, MCA dilihat bimbang berhubung isu pembahagian kerusi pilihan raya, yang mereka anggap lebih memihak kepada parti-parti penyandang.
Di bawah formula pembahagian kerusi BN–PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada PRU akan datang.
Namun, dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilihat cuba menenangkan MCA dan MIC dengan menyeru kedua-dua parti agar berhenti “merajuk” dan kembali memperkukuh gabungan yang telah dibentuk selama lebih lima dekad.
Dalam ucapan dasarnya, Zahid yang juga pengerusi BN berkata hubungan “adik-beradik” sememangnya tidak dapat dielakkan daripada melalui saat-saat krisis seperti lidah yang tergigit.
Pun begitu, katanya, mereka tetap perlu kembali bersama pada akhirnya.
Tangguh permohonan Pejuang, Putra
Dalam pada itu, sumber dalaman PN juga memberitahu bahawa nasib berbeza menimpa dua lagi parti Melayu, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Putra Perkasa Malaysia (Putra).
"Permohonan Pejuang dan Putra untuk menyertai PN sebagai parti komponen dilaporkan telah ditangguh oleh majlis pimpinan tertinggi gabungan tersebut.
"PN mungkin hanya akan menerima kedua-dua parti berkenaan di bawah payung ‘pakatan pilihan raya’ (electoral pact) sahaja.
"Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan pertembungan undi di kawasan majoriti Melayu, tanpa perlu memberikan status ahli tetap kepada mereka," kata sumber itu.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen pemimpin MIC dan PN.
