Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih RM15 juta dibekukan dalam siasatan IJM
Diterbitkan:  Jan 21, 2026 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan lebih RM15 juta dalam 55 akaun bank bagi membantu siasatan berkait kes pengubahan wang haram melibatkan konglomerat utama negara, IJM Corporation Berhad (IJM).

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan bahawa akaun-akaun tersebut dibekukan semalam susulan penggeledahan dilakukan agensi antirasuah itu di premis yang dikaitkan dengan IJM.

Empat lokasi, termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan industri itu, digeledah SPRM dalam satu operasi dipanggil Ops Heart.

Penggeledahan itu untuk membantu siasatan membabitkan dakwaan salah laku tadbir urus korporat dan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Semalam, sembilan individu termasuk dua individu memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Sumber daripada suruhanjaya itu mendedahkan bahawa seorang ahli pengurusan tertinggi syarikat berkenaan bergelar “Tan Sri” serta seorang penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.

Berita Harian pagi ini juga melaporkan seorang sumber berkata serbuan tersebut dilakukan susulan soal siasat yang dilakukan SPRM terhadap dua pegawai kanan IJM.

Siasatan itu melibatkan penelitian terhadap tadbir urus korporat, prosedur perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara, menurut sumber berkenaan.

IJM merupakan sebuah konglomerat senarai awam yang terlibat dalam sektor pembinaan, pembangunan hartanah, pembuatan, pengkuarian dan konsesi infrastruktur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS