Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penahanan wartawan terlalu keras, boleh dianggap berlebihan - Suhakam
Diterbitkan:  Jan 21, 2026 2:20 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Suhakam menyifatkan penahanan dan siasatan terhadap seorang wartawan berhubung soalan yang diajukannya semasa forum mengenai isu Palestin adalah tindakan yang "terlalu keras dan boleh dianggap berlebihan".

"Pendekatan sedemikian mencerminkan penguatkuasaan yang terlalu mengutamakan hukuman berbanding usaha untuk menangani isu ini melalui dialog dan respons berasaskan hak asasi manusia," kata suruhanjaya hak asasi manusia itu dalam kenyataan media hari ini.

Suhakam mengulas mengenai penangkapan dan siasatan baru-baru ini terhadap bekas wartawan Free Malaysia Today, Rex Tan di bawah Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Soalan Tan pada perbincangan awam mengenai Palestin yang menampilkan ahli politik UK, George Galloway di Kuala Lumpur didakwa membawa unsur perkauman.

Dia ditangkap pada awal pagi 17 Januari ketika hadir keterangan di balai polis Dang Wangi, tetapi dibebaskan pada keesokannya selepas Mahkamah Majistret hanya membenarkan reman sehari.

Berkenaan tindakan polis terhadap Tan, Suhakam menekankan bahawa agensi penguatkuasaan memerlukan pendekatan baru.

Rex Tan dan peguamnya Rajsurian Pillai di luar balai polis Dang Wangi

"Suhakam menegaskan bahawa perubahan besar perlu dibuat terhadap pendekatan yang digunakan oleh agensi penguatkuasaan supaya lebih berkadaran, berhemah dan selaras dengan nilai demokrasi serta kebebasan asasi.

"Tindakan ini turut menimbulkan persoalan serius terhadap jaminan kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat seperti mana termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Suruhanjaya itu juga mengkritik penggunaan tiga undang-undang oleh polis untuk menyiasat Tan.

Suhakam berkata Seksyen 233 AKM seharusnya tidak terpakai kepada kes Tan kerana rakaman soalan itu tidak dikongsi dalam talian olehnya.

“Seksyen 233 hanya terpakai kepada komunikasi yang dimulakan atau dihantar melalui perkhidmatan rangkaian, dan sebarang rakaman atau penyebaran dalam talian oleh pihak ketiga tidak mewujudkan liabiliti terhadap individu yang membuat kenyataan.

"Jika tiada bukti bahawa wartawan tersebut telah memulakan atau terlibat untuk menyebarkannya secara dalam talian, Seksyen 233 adalah tidak terpakai," katanya.

Tambah Suhakam, Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan, sebaliknya, bertujuan untuk menjadikan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kebimbangan dalam kalangan orang ramai atau mengganggu ketenteraman awam sebagai jenayah.

"Walaupun memelihara ketenteraman awam merupakan satu matlamat utama di sisi undang-undang, pemakaian peruntukan ini hendaklah dilakukan dengan penuh berhati-hati, khususnya dalam konteks siasatan kewartawanan atau perbincangan awam mengenai perkara berkepentingan awam," katanya.

Bagi Akta Hasutan, Suhakam berkata ia harus dimansuhkan bersama Seksyen 233 AKM.

“Akta Hasutan 1948 bersifat terlalu luas dan mudah disalahgunakan, sekali gus mewujudkan ketakutan untuk perbincangan yang sah, khususnya dalam isu yang melibatkan kepentingan awam.

"Sifat pencegahannya yang tidak memerlukan pembuktian kemudaratan sebenar boleh menimbulkan risiko besar terhadap kebebasan asas dalam masyarakat demokratik dan majmuk,” katanya.

Suruhanjaya itu menambah bahawa prosiding jenayah terhadap wartawan harus digunakan hanya sebagai jalan terakhir.

Sebaliknya, aduan terhadap media harus ditujukan kepada Majlis Media Malaysia, yang harus diperkukuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri bebas utama untuk media, kata Suhakam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS