Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enam individu direman kemuka laporan kesihatan palsu untuk pencen ilat

Enam individu termasuk tiga wanita direman antara tiga hingga tujuh hari bermula dari hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan laporan kesihatan palsu untuk permohonan kelulusan pencen ilat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 2024.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), reman terhadap kesemua mereka yang berumur lingkungan 50-an hingga 60-an itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar Mohd Amiruldin Roslan selepas permohonan reman itu dibuat SPRM Perlis pada hari ini.

Menurut sumber, seorang daripada mereka yang direman itu ialah ejen lelaki berumur 55 tahun yang dipercayai membantu lima individu terbabit membuat permohonan dan mendapatkan kelulusan daripada pihak PERKESO.

"Pada 2024, suspek dipercayai mengemukakan laporan kesihatan palsu yang kononnya disediakan seorang doktor dari hospital sebagai dokumen rujukan bagi mendapatkan laporan perubatan untuk dikemukakan kepada PERKESO bagi tujuan permohonan pencen ilat yang diterima secara bulanan.

"Suspek dipercayai menggunakan bantuan ejen itu bagi permohonan dan mendapatkan kelulusan daripada pihak PERKESO.

"Hasil siasatan mendapati dokumen surat rujukan itu adalah palsu yang dikatakan dibuat ejen tersebut yang digunakan sebagai dokumen laporan perubatan untuk memohon pencen ilat suspek,” kata sumber itu hari ini.

Sumber berkata ejen berkenaan dipercayai telah meminta dan menerima habuan sebanyak RM42,000 daripada tindakannya dalam membantu suspek membuat permohonan pencen ilat terbabit dan dipercayai pencen ilat yang diterima kesemua mereka secara bulanan adalah sebanyak RM255,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis PKPj Mohd Nor Adha Ab Gani berkata tangkapan kesemua individu tersebut merupakan hasil kerjasama perkongsian maklumat antara SPRM Perlis dengan pihak Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Integriti (AFEI) PERKESO.

Mohd Nor Adha berkata kesemua individu itu ditahan antara pukul 11.40 pagi semalam hingga 9.21 malam tadi semasa memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perlis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS