Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Rayuan tukar nama hanya depan tokong, bukan seluruh Jalan Pantai Bersih'

Tokong Thean Hock Keong berkata permohonan yang dikemukakan pihak mereka kepada kerajaan negeri Pulau Pinang hanyalah untuk mengembalikan nama asal jalan di hadapan tokong sepanjang kurang 300 meter, dan bukannya untuk menukar keseluruhan nama Jalan Pantai Bersih sepanjang 1.1 kilometer.

Setiausaha tokong itu, Ng Choong Seong berkata terdapat salah faham yang tersebar di media sosial mendakwa pihak tokong memohon agar keseluruhan Jalan Pantai Bersih dinamakan semula sebagai Jalan Tokong Naga atau Dragon Temple Lane.

“Dakwaan tersebut tidak tepat. Kami hanya memohon pemulihan nama asal bagi laluan kecil di hadapan tokong, manakala baki jalan akan kekal sebagai Jalan Pantai Bersih,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Tokong Thean Hock Keong turut mendakwa ‘Jalan Tokong Naga’ merupakan nama asal yang masih diingati oleh penduduk lama di Bagan dan telah direkodkan secara rasmi dalam pendaftaran pertubuhan tokong sejak tahun 1951, selain disokong oleh beberapa dokumen rasmi kerajaan terdahulu.

Ng Choon Seong

Cadangan pemulihan nama jalan itu, kata mereka, hanya melibatkan empat unit premis bukan kediaman, iaitu dua premis milik Tokong Thean Hock Keong, sebuah tokong Cina lain dan Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam, serta tidak melibatkan kawasan perumahan.

Tokong Thean Hock Keong yang ditubuhkan pada tahun 1951 merupakan salah sebuah tokong Cina bersejarah dan antara yang terbesar di kawasan Bagan.

Pihak tokong menegaskan bahawa cadangan tersebut bertujuan mengekalkan unsur warisan sedia ada dan bukannya untuk menimbulkan kekeliruan atau ketidakselesaan kepada masyarakat awam.

AMK Pulau Pinang bantah

Sebelum ini, Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang menyatakan bantahan cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada ‘Dragon Temple Lane’ yang dilapor mendapat sokongan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, berkata nama Jalan Pantai Bersih telah lama sebati dengan penduduk setempat dan menjadi sebahagian daripada identiti serta memori kolektif sejarah kawasan berkenaan.

“Sebarang usaha menukar nama jalan yang telah lama digunakan tanpa alasan mendesak hanya akan mengundang kekeliruan dan ketidakselesaan dalam kalangan awam.

“Nama Jalan Pantai Bersih telah mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang telah lama mendiami kawasan tersebut,” katanya.

Dia turut menyifatkan cadangan berkenaan sebagai tidak inklusif dan tidak munasabah dalam konteks keperluan semasa rakyat di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata Jawatankuasa Nama-Nama Jalan Negeri masih meneliti cadangan berkenaan.

Kata Chow, jawatankuasa itu mengambil kira latar belakang sejarah serta kesesuaian nama yang dicadangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Rancangan protes

Sementara itu, menurut Ng, dia juga dimaklumkan mengenai kewujudan pihak tertentu yang merancang untuk mengadakan protes di kawasan tokong bagi membantah cadangan penukaran nama jalan berkenaan sejak minggu lepas.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis tempatan telah dimaklumkan.

“Tokong ini merupakan tempat ibadat dan juga destinasi pelancongan yang sering dikunjungi orang ramai.

“Aspek keselamatan perlu diberi perhatian bagi memastikan keadaan kekal aman dan terkawal,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai kerajaan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang turut hadir ke tokong semalam bagi mendapatkan kronologi isu serta mengenal pasti pihak yang bercadang mengadakan protes.

Menurut Ng, pegawai berkenaan telah memberi jaminan untuk menjadualkan satu pertemuan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi membincangkan isu tersebut secara aman dan berhemah.

Ng juga berkata dia dengan ahli-ahli Tokong Thean Hock Keong berharap isu ini dapat diselesaikan secara aman dan juga tidak mengakibatkan kekecohan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS