mk-logo
Berita
Anwar lancarkan DIPN, henti ‘songlap, sakau paling ganas’
Diterbitkan:  Jan 21, 2026 4:12 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) sambil menegaskan tekad kerajaan untuk membersihkan sektor itu daripada amalan "bobrok" dan kepentingan peribadi.

“Sebab itu, tidak boleh lagi kita teruskan dengan amalan bobrok yang merosakkan, bukan sahaja kita sebagai negara, tetapi industri itu sendiri. 

“Bayangkan harapan seluruh negara kepada satu angkatan untuk menjaga keselamatan kita, anak-anak kita, masa depan kita, itu diringankan dengan kepentingan-kepentingan peribadi,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan  memberikan tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus dan institusi, yang bermula dengan tatakelola yang baik. 

“Saya rasa bagi yang mengikuti perkembangan industri pertahanan dan perolehannya, inilah salah satu ruang yang amalan songlap dan sakau ini paling ganas. 

“Jadi sebab itu, dengan jaminan menteri tadi, kita bermula dengan tadbir urus dan tatakelola yang sangat baik,” katanya.

Anwar berkata, strategi pertahanan negara tidak boleh lagi diringankan oleh aktiviti mencari komisen atau kekayaan melampau yang menjejaskan kepentingan industri tempatan.

"Mana mungkin kita tetapkan suatu dasar pertahanan, perolehan persenjataan terbaik, kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisen, dengan kekayaan-kekayaan," katanya dalam ucapan perasmian di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), hari ini.

Anwar mengumumkan bahawa pembekuan semua perolehan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diumumkan minggu lalu akan diteruskan.

Menurutnya, semua perolehan yang diluluskan tetapi belum dimuktamadkan akan diteliti semula bagi memastikan ia selari dengan strategi DIPN serta melalui proses yang telus.

"Semua perolehan sekarang mesti dilihat dalam konteks strategi DIPN, diputuskan cara telus dan mengelak daripada apa juga kemungkinan kecurangan berlaku," tegasnya.

Kandungan tempatan 30 peratus

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata DIPN menetapkan syarat signifikan dalam dasar perolehan, termasuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan.

Katanya, aktiviti perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kini diwajibkan kepada syarikat tempatan, kecuali bagi peralatan yang masih dalam tempoh waranti oleh pengeluar peralatan asli (OEM).

"Jika mereka gagal ini, kita akan menghentikan kontrak MRO mereka, walaupun mereka syarikat tempatan. Kerana matlamat kita adalah untuk mengutamakan kepentingan negara," katanya.

Khaled Nordin

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan DIPN, kerajaan mengumumkan permulaan tujuh projek pertahanan nasional utama:

  • Penyediaan satelit tempatan menjelang 2029.

  • Pembangunan sistem laser pertahanan negara.

  • Pembangunan keupayaan pemasangan dan pembuatan casis kenderaan darat.

  • Pembuatan pelbagai sistem persenjataan.

  • Pengeluaran radar pasif.

  • Pengeluaran produk loitering munition system atau dron kamikaze.

  • Pembangunan simulator pertahanan.

Kerajaan turut melancarkan Portal Industri Pertahanan yang merangkumi permohonan Program Kolaborasi Industri (ICP), dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penawaran teknologi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS