Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan buat tinjauan cadangan had tempoh PM dua penggal
Diterbitkan:  Jan 21, 2026 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Kerajaan melancarkan satu tinjauan dalam talian bagi mengumpul maklum balas mengenai cadangan untuk mengenakan had dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, tinjauan tersebut akan dijalankan bermula 21 hingga 28 Januari.

Cadangan ini melibatkan pertimbangan penetapan had maksimum jawatan Perdana Menteri, sama ada berdasarkan bilangan penggal atau jumlah tahun maksimum.

“Antara perkara yang dikaji termasuk cara pengiraan tempoh perkhidmatan, kesan terhadap kesinambungan pentadbiran, serta pemeliharaan peranan dan kuasa institusi Raja Berperlembagaan,” menurut BHEUU dalam kenyataan.

BHEUU berkata tinjauan tersebut bertujuan mengumpulkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan — termasuk ahli Parlimen, penjawat awam, pertubuhan masyarakat sivil dan orang awam — bagi membantu kerajaan mencapai keputusan dasar yang seimbang dan berasaskan bukti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Antara soalan utama dalam tinjauan itu ialah apa yang akan berlaku kepada jemaah menteri apabila seorang Perdana Menteri mencapai had penggal dan meletakkan jawatan. Antara kemungkinan yang diberikan ialah:

a) Seluruh jemaah menteri meletakkan jawatan bersama Perdana Menteri.

b) Hanya Perdana Menteri meletakkan jawatan dan jemaah menteri boleh meneruskan tugas.

c) Ditentukan oleh peruntukan Perlembagaan atau undang-undang.

d) Tidak pasti.

Tinjauan itu juga mengemukakan soalan sama ada cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan menjejaskan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong atau tidak.

Klik di sini untuk mengakses tinjauan tersebut.

Sokongan bersyarat

Semalam, pembangkang menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan kerajaan berhubung had tersebu, namun dengan syarat ia disertakan dengan klausa yang turut menghalang Perdana Menteri daripada memegang portfolio kewangan pada masa yang sama.

Pada 5 Jan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan menjadi antara empat reformasi yang akan dilaksanakan pada 2026, di saat kerajaan Madani berusaha menunaikan janji pilihan rayanya.

Dalam pengumuman khas tahun baru, Anwar berkata rang undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

In a special New Year’s announcement, he said the bill to limit a prime minister’s tenure to two terms will be tabled in Parliament sometime this year.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS