Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua bekas panglima tentera akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah
Diterbitkan:  Jan 21, 2026 5:30 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa dua bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang orang awam melibatkan beberapa pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram.

Individu tersebut melibatkan bekas panglima angkatan tentera (PAT) Mohd Nizam Jaafar dan bekas panglima tentera darat (PTD) Hafizuddiean Jantan bersama isterinya.

Hafizuddiean dan isterinya bakal berdepan empat pertuduhan setiap seorang bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Khamis ini.

"SPRM menegaskan komitmen berterusan suruhanjaya ini dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi," kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Hafizuddiean juga akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan bawah akta sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam pada Jumaat. Isteri Hafizuddiean pula akan menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Sementara itu, Mohd Nizam akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat atas dua pertuduhan bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pertuduhan terhadap Mohd Nizam melibatkan siasatan salah guna kuasa dan isu berkaitan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), selain satu pertuduhan pecah amanah bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

SPRM turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Pada 7 Januari lalu, Hafizuddiean bersama dua isterinya ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. 

Penahanan itu berkait projek perolehan tender tentera darat dan keesokan harinya, Hafizuddiean direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari. 

Pada sidang akhbar, Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan, sejumlah RM11.4 juta nilai barangan disita dari dua kediaman bekas PTD termasuk satu di rumah rahsia yang terletak di Kuala Lumpur. 

Rampasan turut dilakukan di sebuah rumah di Besut, Terengganu dan sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM. 

Agensi penguat kuasa itu juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu, bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan tentera darat sejak 2023. 

Pada 11 Januari lalu pula, seorang pegawai pengurusan tertinggi ATM yang disiasat SPRM berkaitan salah guna dana dirakam keterangan bagi membantu siasatan. 

Susulan itu, pada 14 Januari lalu, seorang lagi pegawai tinggi ATM ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kartel projek tender perolehan tentera darat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS