Jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka meletakkan jawatan beramai-ramai seawal minggu depan.
Perkembangan ini di tengah krisis kredibiliti yang melanda FAM susulan skandal dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain “warisan” dalam pasukan kebangsaan.
Menurut laporan Berita Harian, sumber berkata keputusan itu dibuat susulan mesyuarat pada dua minggu lalu, sebagai langkah strategik untuk mengelakkan pengambilalihan penuh oleh jawatankuasa normalisasi dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Satu sidang media bagi mengumumkan peralihan kepimpinan FAM dijangka diadakan pada 28 Januari, menurut laporan itu lagi.
"Matlamatnya adalah untuk menunjukkan kepada FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bahawa FAM masih berupaya membetulkan keadaan sendiri.
"Jika exco kekal dan penggantungan dikenakan, FAM akan hilang kawalan sepenuhnya. Dengan meletakkan jawatan sekarang, mereka seolah-olah menekan butang 'set semula' mengikut acuan sendiri,” kata sumber itu seperti dipetik.
AFC sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang penggantungan oleh Fifa akan membawa kesan serius, termasuk pasukan kebangsaan dan kelab Malaysia dilarang menyertai pertandingan antarabangsa.
Pada 8 Januari, pemangku presiden FAM Yusoff Mahadi berkata keutamaan badan induk bola sepak itu adalah untuk mengelakkan sebarang sekatan.
“Peletakan jawatan mungkin perlu, namun terdapat dua atau tiga pilihan lain yang sedang kami kaji.
“Apa jua keputusan yang dibuat mesti secara kolektif. Kita berenang bersama, kita tenggelam bersama, atau kita berjaya bersama,” katanya seperti dipetik New Straits Times.
