Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia tidak menjangkakan sebarang masalah akan timbul berkaitan akaun peribadi Ambank miliknya selepas bersetuju dengan pelantikan bekas Pengarah International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat akaun berkenaan pada 2011.
Najib, 72, berkata dia mempercayai syor yang kuat oleh bekas setiausaha sulit utamanya, iaitu Azlin Alias meskipun sedar akan risiko kewangan yang berpotensi timbul daripada tindakan melantik seseorang yang belum pernah ditemui.
"Pertama sekali, Nik Faisal adalah seorang akauntan yang berkelayakan dan kedua, saya dimaklumkan bahawa bapa dia ialah bekas speaker Dewan Rakyat Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood yang amat rapat dengan almarhum ayahanda saya... atas sebab itu, saya tidak membantah pelantikan dia.
"Saya pernah berurusan dengan dia di SRC namun sebelum itu, saya tidak pernah berjumpa dengannya secara peribadi... dalam surat pelantikan Nik Faisal, tulisan nama dia bukan milik saya," katanya.

Najib berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam SRC, Kwan Will Sen pada prosiding saman RM42 juta yang difailkan syarikat berkenaan dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadapnya.
Ditanya sama ada dia pernah menimbang untuk melantik individu lain yang lebih dikenali seperti Azlin sebagai pemegang mandat akaun terbabit, Najib berkata setiausahanya itu terlalu sibuk namun dia percayakan saranan Azlin.
Najib juga berkata meskipun akaun itu kelihatan seperti akaun peribadi namun ia sebenarnya bertujuan menerima sumbangan bagi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Akaun-akaun ini bukan bersifat peribadi dalam erti kata saya menggunakannya untuk urusan peribadi. Ia memang atas nama saya namun dikhaskan bagi menerima sumbangan untuk melaksanakan aktiviti CSR.
"Hasrat ini tidak dinyatakan secara bertulis namun pada fikiran saya, dana itu adalah untuk disalurkan kepada aktiviti CSR," katanya.
Saman itu, yang difailkan pada 2021, menyaksikan SRC dan Gandingan Mentari memohon deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap mereka atas penerimaan RM42 juta serta menuntut ganti rugi bagi penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, tort salah laku dalam jawatan dan penyalahgunaan kuasa.
Nik Faisal, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman ini bersama-sama lima lagi bekas pengarah syarikat berkenaan, masih bebas.
Perbicaraan di hadapan hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
-Bernama
