Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah memulakan siasatan berhubung prosedur pemberian status kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan pasukan Harimau Malaya.
Menurut sumber di Kementerian Dalam Negeri (KDN), siasatan agensi itu membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan beberapa agensi daripada kementerian itu.
"Siasatan ini memberi tumpuan khusus kepada proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain itu.
"EAIC telah memanggil dua individu daripada FAM termasuk setiausaha agungnya Noor Azman Rahman pada minggu lalu untuk membantu siasatan.
"Selain pihak FAM, EAIC juga telah panggil beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Katanya, beberapa pegawai jabatan tersebut dijadualkan hadir memberikan keterangan pada minggu ini.
"Individu yang bakal dipanggil termasuklah pengarah bahagian daripada JIM bagi memperincikan aspek teknikal dan prosedur berkaitan dokumen perjalanan serta permit berkaitan pemain tersebut," katanya.
Untuk rekod, pada 8 Jan Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan bahawa penggantungan Noor Azman telah berakhir, sekali gus dia boleh kembali menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.
Noor Azman sebelum ini digantung tugas berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan dalam pasukan kebangsaan.

Mengulas lanjut, sumber itu juga berkata EAIC dijangka akan memanggil wakil daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam masa terdekat bagi tujuan rakaman percakapan bagi melengkapkan rantaian siasatan.
Sumber turut memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah pun dimaklumkan mengenai siasatan ini dan dia komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada EAIC bagi memastikan integriti proses tersebut.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebelum ini telah memulakan siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.
Para pemain berkenaan didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM kemudian membentuk jawatankuasa siasatan bebas (IIC) untuk menyiasat pihak yang didakwa memalsukan dokumen tersebut.
Walau bagaimanapun, siasatan IIC menemui jalan buntu, dengan dokumen penting masih tidak didedahkan dan pihak yang terlibat enggan bekerjasama, dan ia menggesa FAM untuk membuat laporan polis.
Selain EAIC, polis juga telah melancarkan siasatan selepas menerima laporan daripada FAM.
Malaysiakini telah menghubungi EAIC, FAM dan Noor Azman untuk mendapatkan komen.
