Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan media kecam pegawai pusat zakat didakwa kasari wartawan
Diterbitkan:  Jan 22, 2026 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Seorang pegawai kanan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) didakwa telah mengasari seorang wartawan wanita semasa acara di Kuala Lumpur pada hari Isnin.

Menurut seorang saksi, kejadian itu berlaku kira-kira jam empat petang susulan sidang media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, yang merasmikan program penyampaian bantuan tersebut.

Pegawai kanan agensi itu, yang namanya tidak didedahkan sementara menunggu maklum balasnya, didakwa tidak senang dengan soalan yang diajukan oleh wartawan itu kepada Zulkifli.

Malaysiakini difahamkan soalan tersebut berkaitan satu kes baru-baru ini di Sabah, di mana seorang pelajar dipotong tudungnya oleh seorang guru.

Insiden itu telah menerima kecaman daripada beberapa kumpulan media, yang melihatnya sebagai satu bentuk intimidasi terhadap kebebasan media.

Intimidasi

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) dalam satu kenyataan dua hari lalu berkata tindakan sedemikian jelas tidak wajar, tidak profesional dan bertentangan dengan prinsip kebebasan media.

"Lebih membimbangkan, NUJM telah dimaklumkan bahawa individu terkemuka itu secara kasar merampas kad media wartawan sejurus selepas menteri itu meninggalkan sidang akhbar, di hadapan pengamal media lain.

"Tindakan ini bukan sahaja menakutkan tetapi juga boleh ditafsirkan sebagai percubaan untuk menakutkan wartawan dalam melaksanakan tugas rasmi," kata Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Yusof.

Dia menambah bahawa kesatuan itu kesal kerana tiada permohonan maaf yang sewajarnya oleh pegawai tersebut dan NUJM menuntut penjelasan daripada PPZ-MAIWP.

“Tindakan tidak beretika ini bukan sahaja mencabuli kebebasan media, malah mencemarkan imej Kerajaan Madani yang selama ini menzahirkan komitmen terhadap prinsip keterbukaan dan penghormatan kepada media sebagai ‘kuasa ketiga’ demokrasi,” katanya

Dalam satu kenyataan berasingan, Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata insiden itu mencerminkan sikap angkuh dan tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat demokratik

"Kami menggesa pelaku supaya memohon maaf secara langsung kepada wartawan yang terjejas, dan bukan melalui orang tengah atau kepada syarikat media.

"Walaupun ketika ini belum wujud undang-undang khusus yang melindungi wartawan di Malaysia daripada cubaan mengganggu atau menyekat laporan mereka ketika bertugas di lapangan, undang-undang sedia ada yang mengawal perbuatan serangan atau gangguan tetap terpakai," kata kumpulan itu.

Persatuan Wartawan Jenayah (Cija), di mana wartawan yang didakwa diserang itu turut menjadi anggotanya, menggesa kementerian berkaitan menyiasat pegawai terbabit.

Dalam satu kenyataan, persatuan itu berkata tindakan pegawai tersebut jelas merupakan cubaan intimidasi terhadap media dan kegagalannya memohon maaf kepada wartawan berkenaan mencerminkan sikap angkuh “yang tidak selari dengan nilai ketelusan kerajaan Madani”.

“Oleh itu, Cija menuntut agar pemimpin GLC tersebut mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada ahli kami dengan segera.

“Kementerian berkaitan juga perlu mengambil maklum insiden ini dan menyiasat tindakan pegawai lantikan tersebut, yang jelas telah mencemarkan imej kerajaan,” kata persatuan itu.

Malaysiakini telah menghubungi PPZ-MAIWP dan pegawai kanan terbabit untuk mendapatkan maklum balas.

Semalam, Malay Mail melaporkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dia akan menghubungi pegawai itu bagi mendapatkan gambaran penuh susulan dakwaan berkenaan.

“Saya juga akan menasihati pegawai itu yang wartawan berhak untuk bertanya apa-apa soalan; itu bukan masalah. Pihak yang disoal tidak boleh bersikap kasar…

“Jadi, bagi sesiapa sahaja, termasuk menteri, timbalan menteri atau pengurusan tertinggi mana-mana syarikat, mereka perlu mengamalkan sikap yang lebih terbuka, khususnya jika kita mahu memastikan kebebasan media,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS