Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PAS dakwa najis babi di Tanjung Sepat disalur ke laut

Pemimpin PAS semalam mendakwa sisa ternakan babi dari ladang-ladang di Tanjung Sepat disalurkan terus ke Selat Melaka, dengan pengurusan kumbahan sama ada tidak dilaksanakan atau dijalankan secara tidak teratur.

Beberapa pemimpin PAS, termasuk Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Hairi, serta Yang Dipertua PAS Kawasan Sepang, Sabirin Marsono, melawat ladang-ladang tersebut di Kampung Tumbuk bagi melihat sendirinya caranya beroperasi.

“Dan apa yang kita lalu tadi ialah (kita melihat) najis babi yang disalurkan dengan tidak mengikut piawaian sebenar, sistem kumbahan yang tidak dilaksanakan dengan betul dan pada akhirnya kita dapat melihat tadi (sisa) masuk ke laut.

“Dan kita tidak tahu betapa besar percemaran yang berlaku di Laut Selat Melaka di belakang saya pada ketika ini,” kata Fadhli kepada pemberita.

Yunus berkata ladang-ladang babi tersebut dijalankan secara tradisional, dengan beberapa kolam digunakan untuk menyalurkan sisa yang akhirnya mengalir ke longkang, sungai dan seterusnya ke laut.

“Semua masyarakat tak kira sama ada Melayu, India atau pun Cina, mereka tidak boleh toleran dengan keadaan sistem ternakan babi seperti ini (yang dijalankan) secara tradisional,” katanya.

Pemimpin PAS terbabit turut mempersoalkan langkah-langkah yang telah diambil Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memeriksa serta memantau isu berkenaan.

Fadhli berkata lawatan yang dilakukan adalah sebahagian daripada usaha untuk meninjau masalah berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut, di samping menjunjung titah Sultan Selangor yang mengarahkan ladang-ladang itu ditutup dan dipindahkan.

Teguran Sultan

Pada 12 Januari, selepas menerima menghadap beberapa ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor berhubung isu ladang babi di Tanjung Sepat, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan beberapa ketetapan, termasuk titah bahawa tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di Tanjung Sepat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Selangor, Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya operasi sedia ada di kawasan tersebut dihentikan secara berperingkat dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar, dengan mematuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan berkaitan.

Baginda juga mengarahkan kerajaan negeri menjalankan satu kajian menyeluruh serta bancian terperinci bagi mengenal pasti jumlah bekalan daging babi yang diperlukan oleh penduduk bukan Islam di Selangor.

Selain itu, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa dana awam tidak boleh digunakan bagi sebarang operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.

Dua hari sebelum itu baginda menzahirkan rasa murka terhadap pengurusan ladang babi di Selangor ketika ini.

Baginda turut mencadangkan agar wakil-wakil rakyat tinggal berhampiran ladang babi di Tanjung Sepat untuk merasai sendiri kesannya.

Baginda bertitah bahawa penduduk yang tinggal berhampiran ladang babi mengalami pelbagai kesan negatif, termasuk bau busuk yang berpanjangan, pencemaran air sungai dan masalah lalat yang berterusan, yang menjejaskan kualiti hidup serta menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan.

Kenal pasti lokasi baru

Dalam sidang media semalam, Fadhli berkata walaupun hanya kira-kira 30 peratus ladang babi masih beroperasi susulan wabak virus tahun lalu, kesannya tetap dirasai oleh penduduk.

Dia memaklumkan bahawa sebelum ini terdapat 114 kandang babi yang beroperasi di kawasan tersebut, yang terletak dalam jarak 1 kilometer daripada kawasan perumahan dan masjid terdekat.

Yunus pula menggesa kerajaan negeri mengenal pasti lokasi baru yang dilengkapi kemudahan sesuai bagi mengendalikan penternakan babi, selaras dengan titah Sultan.

Dia berkata penternakan babi secara moden lebih mudah diurus dan sepatutnya hanya memenuhi keperluan pihak yang bergantung kepadanya sebagai sumber protein.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS