Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas PTD, isteri ketiga didakwa terima RM2.12 juta hasil aktiviti haram

Bekas Panglima Tentera Darat (PDT), Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana lebih RM2.12 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Hafizuddeain didakwa menerima sejumlah RM2,122,400 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank dan Bank Muamalat Berhad miliknya dalam empat transaksi berasingan sepanjang tahun 2024 dan 2025.

Dia membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Azura Alwi dalam prosiding hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, bekas pegawai tinggi tentera berusia 57 tahun itu didakwa menerima RM969,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Muamalat miliknya antara 7 Mei hingga 25 Jun tahun lalu.

Dia juga didakwa menerima RM474,850 antara 2 Feb hingga 3 Dis 2024; RM488,550 antara 15 Jan hingga 7 Nov; serta RM190,000 antara 12 Mac hingga 21 Ogos tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,153,400 yang dimasukkan ke dalam dua akaun Maybank miliknya.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA/ATFPUAA), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 15 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil tersebut atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin, meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM300,000, dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

Wan Shaharuddin turut mencadangkan hakim mengarahkan Hafizuddeain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah kerana dianggap berisiko melarikan diri.

Peguam Hafizuddeain, Aizul Rohan Anuar bagaimanapun memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah dengan alasan RM300,000 dianggap terlalu tinggi.

“Tertuduh telah berkhidmat dalam tentera selama 40 tahun sebelum bersara. Beliau menerima pencen sebanyak RM15,000 sebulan.

“Memandangkan semua akaun banknya telah dibekukan, jumlah ikat jamin yang tinggi akan menjadi satu hukuman (kepada tertuduh),” katanya.

Susulan itu, hakim memerintahkan ikat jamin sebanyak RM250,000 ke atas Hafizuddeain dengan dua penjamin, serta syarat melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali sebulan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 30 Mac untuk sebutan kes.

Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, isteri ketiga Hafizuddeain, Salwani Anuar @ Kamaruddin didakwa dengan empat pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima dana berjumlah RM77,000 daripada aktiviti haram.

Dia didakwa menerima RM50,000 pada 24 dan 28 Nov, serta RM7,000 pada 4 Dis 2025; RM10,000 pada 25 Jan dan RM10,000 pada 25 Nov tahun lalu, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Wany Venture.

Wanita berusia 26 tahun itu, yang mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad, didakwa atas kapasiti sebagai pengawal Wany Venture, di mana dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di CIMB cawangan Damansara Heights.

Pertuduhan terhadapnnya dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUA 2001).

Wan Shaharuddin, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes ini, meminta mahkamah mengenakan ikat jamin antara RM30,000 hingga RM50,000 dan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM serta menyerahkan pasportnya kerana dianggap berisiko melarikan diri.

Bagaimanapun, peguam Salwani, Fahmi Abd Moin berkata ikat jamin bertujuan untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan tidak sepatutnya bersifat hukuman.

“Anak guam saya baru berusia 26 tahun dan baru sahaja berkahwin pada Ogos tahun lalu. Dia mempunyai perniagaan dalam talian dengan pendapatan tidak tetap.

“Suaminya telah didakwa lebih awal dan berdepan jaminan RM250,000. Anak guma saya telah disiasat sejak 5 Jan dan ditahan reman selama lima hari bermula 7 Januari.

“Saya diberitahu bahawa beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM, yang membawa kepada pertuduhan beliau hari ini. Tiada tanda bahawa beliau berisiko melarikan diri kerana beliau masih menyokong dan menjaga ibu bapanya,” katanya, sewaktu memohon ikat jamin sebanyak RM20,000.

Hakim menetapkan ikat jamin terhadap Salwani sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin, serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 30 Mac untuk sebutan kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS