Paling Popular
Terkini

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa dasar kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu, yang dijadualkan bermula pada 2027, dirangka dengan perancangan dan persediaan menyeluruh.

Menterinya, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa kanak-kanak tidak akan dijadikan “tikus makmal” dalam pelaksanaan dasar pendidikan baru ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakui kebimbangan masyarakat terhadap langkah tersebut adalah wajar kerana ia melibatkan pendekatan yang masih baru.

“Saya ingin tekankan bahawa segala perkara yang dibangkitkan dan segala kebimbangan masyarakat ketika ini adalah sangat valid kerana ini adalah perkara baru. Kami juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberikan penerangan dan memastikan pelaksanaan ini berlaku dalam keadaan yang terbaik.

“Pertama, anak-anak kita bukan bahan ujian makmal, bukan tikus makmal,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang membangkitkan kebimbangan ibu bapa berhubung pelaksanaan dasar terbabit.

Mengulas lanjut, dia berkata dasar tersebut tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dibincangkan dan dibahaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk melalui pelbagai proses libat urus bersama pihak berkepentingan.

Fadhlina menjelaskan bahawa sesi libat urus telah dijalankan melalui Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, portal cadangan pendidikan masa hadapan, serta perbincangan di peringkat akar umbi.

“Kita tidak berhasrat menjadikannya projek rintis. Sebab itu ia dilaksanakan secara berfasa, bersifat sukarela dan disokong oleh ujian diagnostik.

“Mekanisme pelaksanaan ditentukan oleh KPM, termasuk sokongan emosi dan psikososial kepada murid.

“Dasar ini tidak juga bersifat tergesa-gesa dan tidak dibuat tanpa penglibatan pihak berkepentingan,” katanya lagi.

Menurut Fadhlina, mekanisme pelaksanaan ditentukan sepenuhnya oleh KPM, termasuk penyediaan sokongan emosi dan psikososial kepada murid yang terlibat.

Dia turut menegaskan bahawa fokus dasar tersebut adalah terhadap penguasaan kemahiran asas mengikut tahap perkembangan kanak-kanak, dan bukannya mempercepatkan pembelajaran akademik.

“Hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia dari segi emosi, kognitif dan kemahiran sahaja akan ditawarkan. Pembangunan modal insan bergantung kepada kualiti pembelajaran dan kemahiran asas, bukan semata-mata umur kemasukan sekolah,” katanya.

Tambahnya, pembangunan modal insan negara tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada umur kemasukan ke sekolah, sebaliknya kepada kualiti pembelajaran dan penguasaan kemahiran asas yang kukuh sejak awal.

Perancangan KPM

Sementara itu, Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) dalam soalan berasingan turut membangkitkan kebimbangan terhadap kebolehlaksanaan rancangan KPM itu, khususnya melibatkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu serta perubahan penilaian pada Tahap Dua.

Menurut Hishammuddin, pelaksanaan dasar tersebut memerlukan perancangan rapi terutama dari segi penyediaan fasiliti sekolah dan kecukupan tenaga pendidik sebelum ia dimulakan.

“Apakah perancangan kementerian untuk memastikan kemudahan di sekolah mencukupi dan adakah jumlah pendidik serta tahap persediaan mencukupi sebelum inisiatif ini dilaksanakan?” soalnya.

Hishamuddin berkata, berdasarkan maklumat yang dilaporkan media, kementerian masih menunggu data baru sebelum perancangan terperinci dibuat, selain cadangan pembinaan bilik darjah baru menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Dia turut mengemukakan statistik bagi menekankan skala cabaran yang bakal dihadapi, dengan menyatakan negara mempunyai 7,778 sekolah rendah melibatkan kira-kira tiga juta murid dan 236,000 guru.

“Saya baca di media jawapan menteri bahawa masih menunggu data-data baru sebelum perancangan dibuat. Saya juga dengar kenyataan bilik-bilik darjah baru akan dibina melalui kaedah IBS.

“Tapi faktanya menyatakan negara mempunyai 7,778 sekolah rendah melibatkan kira-kira tiga juta murid dan 236,000 guru.

“Ini bukan perkara mudah. Saya pernah menerajui KPM dan saya faham kegusaran serta kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan murid, tetapi juga ibu bapa dan guru. Penjelasan yang teliti perlu diberikan supaya semua pihak yakin dasar ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Menjawab kebimbangan tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata kementerian mengambil maklum isu yang dibangkitkan dan memberi jaminan bahawa persediaan sedang dilakukan bagi memastikan penerimaan murid enam tahun ke Tahun Satu berjalan lancar.

Menurutnya, fasiliti sedia ada di sekolah akan dioptimumkan, namun KPM turut mengenal pasti sekolah yang memerlukan bangunan tambahan yang akan dibina menggunakan kaedah IBS bagi membolehkan ia disiapkan dalam tempoh singkat.

Berhubung keperluan tenaga pengajar, Wong berkata KPM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk melaksanakan pengambilan khas secara kontrak bagi memenuhi keperluan jangka pendek sebelum kohort baharu memulakan sesi persekolahan.

“Untuk jangka panjang, pengambilan melalui program latihan perguruan akan ditambah berdasarkan unjuran baharu serta data dan statistik terkini KPM,” katanya.

Tegasnya, semua langkah tersebut adalah sebahagian daripada perancangan kementerian dalam memastikan reformasi pendidikan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan masa depan anak-anak negara.

Pada 20 Jan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula 2027, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.

KPM turut memaklumkam kanak-kanak yang mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun (5+) bagi sesi 2027 dijadual menamatkan pendidikan peringkat menengah atas lebih awal iaitu pada usia 16 tahun.

KPM dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ) menjelaskan kumpulan murid itu tidak akan berada dalam Tahun Satu selama dua tahun, sebaliknya mengikuti struktur sedia ada: enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS