Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ini bukan isu perasuah itu makan apa, kata pemimpin PAS
Diterbitkan:  Jan 22, 2026 12:32 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Seorang pemimpin PAS mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan rasuah dengan soal bangsa, dan mendakwa bahawa ‘Bangsa C ramai bagi rasuah manakala bangsa M ramai terima rasuah’ - merujuk kepada masyarakat Cina dan Melayu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Azman Ibrahim membuat kenyataan itu ketika memberi mengulas kenyataan seorang ahli Parlimen dari Sarawak yang mempertahankan tindakan masyarakat Dayak yang memakan daging babi tetapi menyatakan bahawa tidak ramai daripada mereka, yang bagaimanapun, mengambil rasuah dan memakan dadah.

“Pokoknya, jangan alih isu dengan mengaitkan babi dan rasuah. Rasuah adalah masalah semua bangsa. Bangsa C ramai bagi rasuah manakala bangsa M ramai terima rasuah.

“Faktornya mudah difahami kerana bangsa M mendominasi perkhidmatan awam. Bangsa-bangsa lain pun ada yang terlibat rasuah sama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kenyataan Azman itu dibuat sebagai respons kepada ucapan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin di Dewan Rakyat semalam, yang menggesa semua pihak untuk menghormati pilihan makanan orang lain, sambil meluahkan rasa kecewanya terhadap pihak yang mencaci daging babi sebagai busuk dan kotor.

Caci makanan bangsa lain

Bercakap dari perspektif orang Dayak, Willie Mongin berkata komunitinya tidak pernah menghina pilihan makanan orang lain namun mereka menjadi sasaran hanya kerana makan babi.

"Kita sebagai orang Dayak tak pernah mencaci dan menghina makanan orang lain.

"Kita sebagai orang yang makan babi tidak banyak yang ambil rasuah, tidak banyak yang makan dadah, tidak banyak yang sampai buat perkara pelik-pelik tapi kita dituduh makan babi dan tidak jadi orang bertamadun.

Willie Mongin

"Walaupun babi itu busuk, busuk lagi budu dan belacan,” katanya.

Bagaimanapun, Azman yang juga pengerusi lajnah asas tani dan kelestarian alam PAS, berhujah bahawa rasuah tidak wajar disamakan dengan pilihan pemakanan.

“Rasuah adalah masalah besar bagi negara, ia bukan masalah mana-mana bangsa dan bukan isu perasuah itu makan apa.

“Sebab itu saya tunjukkan sedikit fakta apabila dibawa naratif, kami makan babi tapi kami tak makan rasuah,” katanya, merujuk kepada satu carta yang dikongsikan dalam hantaran hari ini.

Dalam carta tersebut, kaum Cina dipaparkan sebagai paling ramai ditangkap kerana memberi rasuah dengan 630 kes, diikuti (kaum) ‘lain-lain’ sebanyak 518 kes, Melayu 390 kes dan India 151 kes.

Menurut Azman , statistik dalam carta itu adalah berdasarkan sumber SPRM dan Dewan Rakyat, meliputi tempoh antara 2015 hingga 30 Jun 2025.

“Siapa kata orang yang makan babi tak terlibat rasuah?” soal Azman dalam kapsyen yang mengiringi carta berkenaan.

Menghidu udara berperisa babi

Dalam hantaran sama, Azman yang juga adalah exco kerajaan negeri Terengganu turut menjelaskan bahawa kritikan kebelakangan ini terhadap penternakan babi lebih tertumpu kepada isu pencemaran alam sekitar, bukannya pilihan pemakanan peribadi.

“Dalam isu babi, isu utama yang dibangkitkan ialah soal pencemaran bau, pencemaran air, pencemaran persekitaran dan pelbagai lagi isu alam sekitar yang menyesakkan dada. Kawasan menjadi mangsa pula ialah persekitaran yang didiami oleh mereka yang tak makan babi,” katanya.

Adun Jabi itu seterusnya memberikan contoh, bagaimana orang Melayu di Tasik Gelugor Pulau Pinang terpaksa “menghidu udara berperisa babi”.

“Contohnya, bagaimana orang Melayu Tasik Gelugor Pulau Pinang terpaksa menghidu udara berperisa babi bawaan dari Ladang Ternakan di Kampung Selamat sejak lebih empat dekad yang lalu,” katanya, sambil menegaskan bahawa pengambilan makanan adalah urusan peribadi.

Rasa tak dihormati

“Soal awak nak makan babi, berapa kali sehari nak makan, nak masak babi resepi apa dan nak hidang macam mana, itu terpulanglah kepada mereka dan keluarga mereka,” katanya, sambil menyatakan bahawa orang Melayu/Islam merasakan mereka tidak dihormati apabila ladang penternakan babi beroperasi di kawasan majoriti bukan pemakan babi.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa serta agama. Orang Melayu Islam rasa tak dihormati bila ladang penternakan babi beroperasi di kawasan majoriti bukan pemakan babi.

“Siapa boleh nafikan bahawa bau dan pencemaran dari ladang babi sangat menjijikan dan memualkan. Kenapa mesti orang Melayu Islam yang menjadi mangsa?” soalnya.

Pada 12 Jan, selepas menghadap beberapa exco Selangor berhubung isu ladang babi di Tanjung Sepat, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan beberapa ketetapan, termasuk bertitah bahawa tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan tersebut.

Dalam satu kenyataan Istana Selangor, baginda turut menitahkan supaya operasi sedia ada dihentikan secara berperingkat dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar, dengan mematuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan berkaitan.

Baginda juga mengarahkan kerajaan negeri menjalankan kajian menyeluruh dan bancian terperinci bagi mengenal pasti jumlah keperluan daging babi oleh bukan Islam di Selangor.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa dana awam tidak boleh digunakan untuk sebarang operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah

Dua hari sebelumnya, pada 10 Jan, Sultan Sharafuddin menyatakan rasa tidak puas hati baginda terhadap pengurusan ladang babi sedia ada di negeri itu.

Baginda juga mencadangkan agar wakil rakyat tinggal berhampiran ladang babi di Tanjung Sepat bagi merasai sendiri kesannya.

Baginda bertitah bahawa penduduk yang tinggal berhampiran ladang babi menanggung pelbagai kesan negatif — bau busuk berpanjangan, pencemaran air sungai dan masalah lalat yang tidak berkesudahan — yang menjejaskan kualiti hidup serta menimbulkan kebimbangan kesihatan.

Campur tangan baginda itu menyusuli satu protes aman oleh lebih 200 penternak babi dan pemain industri yang menggesa pelonggaran syarat yang didakwa keras dikenakan oleh kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS