PARLIMEN | Memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke darjah satu sekolah rendah akan mewujudkan peluang yang tidak adil serta stigma dalam kalangan murid, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menggesa Putrajaya menilai semula pelan pendidikan baru itu, dia berkata pilihan berkenaan lebih banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak daripada keluarga berada yang mampu membiayai pendidikan prasekolah berkualiti bagi menyediakan anak mereka menghadapi ujian kemasukan yang dirancang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Yang saya lebih risau adalah kewujudan stigma anak-anak yang lembab, minta maaf saya guna perkataan ini, bukan nak panggil tapi ini label yang berlaku di sekolah anak-anak yang lembab ataupun bodoh.
“Apa yang akan berlaku? Kalau sebelum ini kemasukannya standardized, kalau tujuh tahun semua masuk, lapan tahun darjah dua, sembilan tahun darjah tiga.
“Apabila kita ada sistem kasta, a two-tiered system, apa yang akan berlaku?
“Apa yang akan berlaku adalah diskriminasi dan stigma akan wujud. Mereka yang lulus ujian diagnostik ini, masuk setahun awal, terus akan dapat label. Saya budak pandai, saya budak cerdik, saya lepas ujian psychometric, psychoanalysis, saya lepas ujian kemahiran. Bagaimana pula anak-anak yang tak lepas ujian diagnostik ini? Yang selepas ini setahun lambat. Eh, setahun lebih lambat.
“Senang untuk mereka dilabel, dibuli di sekolah,” kata Syed Saddiq ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Dia merujuk kepada pelan pendidikan 10 tahun kerajaan yang diumumkan pada Selasa lalu, yang memperkenalkan beberapa inisiatif baru termasuk memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke darjah satu sekiranya mereka percaya anak mereka sudah bersedia.
Wakil Muda itu turut menegaskan tidak semua keluarga di Malaysia mempunyai akses kepada pendidikan prasekolah, dengan merujuk kepada satu kajian yang menunjukkan negara ini hanya mempunyai kurang daripada 4,000 kemudahan prasekolah sedangkan keperluannya mencecah 40,000.
Menurut Syed Saddiq, ramai ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke prasekolah tidak berdaftar yang menawarkan kualiti rendah kerana tidak mampu menanggung kos prasekolah berdaftar.
“Let's be clear. Siapa yang mampu lulus jika nak dibandingkan dengan semua anak-anak yang nak masuk tapi siapa yang akan lulus?
"Ini adalah anak orang kaya. Atau anak yang berkemampuan kerana mereka dah masuk ke prasekolah kerana mereka mampu atau dihantar kepada prasekolah yang berkualiti.”
Tambahnya lagi, sistem baru itu juga akan membebankan prasekolah dengan pendidikan berorientasikan peperiksaan dan menjadikan proses pembelajaran tidak lagi menyeronokkan untuk kanak-kanak.
Ini kerana tanggungjawab menyediakan kanak-kanak bagi menghadapi ujian kemasukan akan dipindahkan kepada guru prasekolah, katanya.
Selain itu, Syed Saddiq berkata sistem baru ini dijangka meningkatkan beban guru sekolah rendah yang perlu mengendalikan ujian berkenaan.
“Tapi kini kita letakkan beban yang baru kepada cikgu-cikgu darjah satu ini. It sounds simple. Look at the data. Setiap tahun kita ada 450,000 intake darjah satu.
"Maksudnya kalau kita nak buat ujian psychometric dan ujian kemahiran kepada setiap satu yang mohon, that's 450,000 individual assessment yang perlu dilakukan dan perlu dilakukan bukan kita dalam parlimen ini. Adalah cikgu-cikgu di bawah,” tegasnya.
Sehubungan itu, Syed Saddiq mencadangkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan pelan tersebut sehingga Kementerian Pendidikan dapat menyelesaikan semua isu, termasuk memastikan kemudahan dan jumlah guru mencukupi untuk mengendalikan sistem baru itu.
Dia turut mencadangkan agar pendidikan prasekolah dijadikan percuma dan boleh diakses oleh semua kanak-kanak sebelum pelan tersebut dilaksanakan.
“Dan yang terakhir, kemasukan perlu diseragamkan. Tidak boleh wujud sistem dua peringkat,” katanya.
