Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan arahan baru kepada polis untuk melengkapkan siasatan berhubung dakwaan penglibatan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam sindiket visa perubatan.
Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Masri Mohd Daud memaklumkan pihaknya telah menerima kertas siasatan tersebut, namun berpandangan beberapa perkara perlu diperincikan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
"Kertas siasatan berhubung pegawai JIM yang disyaki terlibat dalam sindiket pengeluaran Visa Rawatan kepada warga asing telah diterima.
"Setelah diteliti, beberapa lagi arahan dikeluarkan kepada pegawai penyiasat untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada Malaysiakini.
20,000 visa, bayaran RM4,500 'sekepala'
Langkah tersebut merupakan susulan daripada arahan awal AGC pada November tahun lalu agar polis membuka kertas siasatan berkenaan dakwaan itu, selepas menerima dapatan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Pada 28 Julai tahun lalu, EAIC merujuk syor pertuduhan jenayah terkait pegawai JIM yang disyaki terlibat dengan sindiket visa perubatan kepada AGC.
EAIC memaklumkan ia merupakan dapatan daripada siasatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat isu pengeluaran pas lawatan sosial kategori visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing yang tidak mematuhi prosedur sepatutnya.
EAIC juga memaklumkan enam pegawai JIM disyorkan untuk dikenakan tindakan tatatertib kerana memproses dan meluluskan pas lawatan jangka panjang (visa rawatan) tanpa mematuhi Pekeliling Imigresen Malaysia Bil 10/2001.
Selain itu, seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) turut disyor agar dikenakan tindakan tatatertib kerana gagal memantau pegawai di bawahnya, kata EAIC lagi.
Pada 15 Oktober 2024, EAIC menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti isu pelanggaran proses kelulusan visa perubatan, termasuk semakan terhadap pematuhan tatacara sedia ada, pengambilan keterangan saksi-saksi berkaitan, penyitaan dokumen, serta penyediaan syor yang bersesuaian untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Siasatan itu melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lalu melibatkan satu negeri sahaja, dengan setiap kepala dikenakan bayaran sekitar RM4,500 oleh sindiket itu.
Malaysiakini difahamkan antara nama besar yang dipercayai terlibat dengan sindiket visa perubatan ialah seorang pegawai kanan JIM dan seorang ahli perniagaan dari Johor yang masing-masing dikenali sebagai Tok Yah dan DK.
Pada Okt tahun lalu juga, Malaysiakini membongkar kegiatan Tok Yah dan DK sebagai antara 'ikan besar' yang terlibat dengan sindiket warga asing tetapi masih tidak disentuh oleh undang-undang.
Malaysiakini turut menyerahkan senarai nama individu yang didakwa terlibat dengan sindiket visa perubatan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
