ULASAN | Dalam politik moden, parti tidak lagi dihakimi berdasarkan sejarah panjang atau jumlah keahlian semata-mata, tetapi berdasarkan satu mata wang yang semakin mahal: kepercayaan.
Inilah cabaran sebenar Umno pasca PRU15 dan inti pati paling penting yang tersirat daripada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025.
PAU 2025 tidak wajar dibaca sebagai perhimpunan rutin atau sekadar medan konsolidasi dalaman. Ia adalah cerminan kegelisahan strategik sebuah parti teras negara yang sedang berdepan realiti baru politik tanpa dominasi, pengundi yang semakin matang, serta keperluan mengurus negara dalam kerangka Kerajaan Perpaduan yang kompleks.
Daripada keseluruhan Ucapan Dasar Presiden dan penggulungan pimpinan tertinggi, satu kesimpulan besar boleh dirumuskan: Umno memerlukan satu strategi agung yang realistik dan menyeluruh.
Pada hemat saya, strategi agung itu mesti berteraskan satu matlamat utama, iaitu membina semula kepercayaan rakyat.
Kepercayaan tidak boleh diminta, tidak boleh dipaksa dan tidak boleh dibina melalui nostalgia politik lama. Ia hanya boleh dibina melalui ketekalan, kejelasan prinsip dan keupayaan menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
Politik matang dan kejelasan kerjasama
Antara cabaran terbesar yang terus menghantui Umno ialah soal kejelasan politik, khususnya berkaitan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan yang turut melibatkan DAP.
Realitinya, rakyat Malaysia hari ini cukup matang untuk menerima kompromi politik. Namun mereka tidak menerima prinsip yang kabur.
Di sinilah Umno berdepan masalah yang paling ketara, bukan kerana bekerjasama, tetapi kerana gagal memimpin naratif kerjasama itu secara meyakinkan. Umno sering dilihat reaktif, defensif dan lambat menjelaskan sebab, batas serta peranannya dalam kerajaan.

DAP pula, sama ada disukai atau tidak, konsisten dengan pendiriannya. Kekaburan yang wujud akhirnya tidak memihak kepada Umno, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu yang masih melihat politik melalui lensa sejarah panjang perseteruan Umno–DAP. Apabila naratif tidak dipimpin, ia akan diambil alih oleh persepsi. Dan persepsi, jika dibiarkan, akan membentuk realiti politik.
Menstabilkan, bukan menggugat
Dalam konteks ini, cadangan grand colloboration atau kolaborasi agung Umno tidak wajar disalah tafsir sebagai usaha menggugat Kerajaan Perpaduan. Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai usaha strategik untuk menstabilkan politik Melayu dan nasional, agar kerajaan sedia ada lebih kukuh dan berfungsi dengan legitimasi yang lebih luas.
Sejarah politik Malaysia memberikan pengajaran yang relevan. Krisis besar Umno pasca 1987 melahirkan Semangat 46, namun akhirnya diselesaikan melalui penyatuan semula. Kepulangan Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim ke dalam Umno bukan sahaja menamatkan perpecahan Melayu, malah menyumbang kepada kestabilan politik negara ketika itu.
Penyatuan tersebut tidak melemahkan kerajaan. Sebaliknya, ia mengurangkan ketegangan politik berpanjangan dan membina semula kepercayaan akar umbi. Sejarah ini wajar direnungi semula dalam landskap politik hari ini.
Pembukaan ruang oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kepada bekas pemimpin, ahli serta mana-mana pihak untuk kembali atau bekerjasama sama ada secara individu atau blok perlu dibaca sebagai pendekatan rekonsiliasi politik, bukan percaturan kuasa sempit.
Umno sebagai tiang seri kestabilan
Dalam Kerajaan Perpaduan, peranan Umno sebagai tiang seri kestabilan tidak boleh dinafikan. Umno berfungsi sebagai penimbang tara yang memastikan pentadbiran negara tidak terus terjerumus ke dalam ketidaktentuan politik.
Konsep Amanah Kenegaraan yang sering diungkapkan bukan sekadar slogan. Ia dizahirkan melalui kesediaan Umno memikul tanggungjawab mentadbir dalam suasana politik yang rapuh dan penuh kecurigaan.
Namun amanah ini memerlukan satu perkara yang masih belum cukup kukuh iaitu kejelasan komunikasi politik, khususnya kepada pengundi Melayu yang menjadi tunjang sejarah parti.
Teras kedua strategi agung Umno ialah pembinaan kredibiliti. Dalam politik hari ini, kredibiliti tidak dibina melalui retorik, tetapi melalui cara isu ditangani.

Pendekatan matang ialah mengakui kelemahan, mengambil tanggungjawab dan menawarkan solusi yang munasabah. Di sinilah Umno masih mempunyai kelebihan yang sukar dinafikan. Keupayaan pentadbiran dan pengalaman teknokratik yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri seperti Johor dan Pahang membuktikan bahawa Umno masih relevan dari sudut pengurusan dan penyelesaian masalah rakyat.
Soalnya kini bukan sama ada Umno mampu mentadbir atau tidak, tetapi mampukah keupayaan itu diterjemahkan menjadi kepercayaan politik di peringkat nasional.
Persepsi dan politik harian
Teras ketiga ialah pemulihan persepsi awam, khususnya dalam ruang digital. Kepercayaan tidak dibina menjelang pilihan raya, tetapi secara harian.
Umno tidak boleh terus bersikap defensif atau senyap apabila naratif negatif menguasai ruang awam. Politik matang menuntut kepimpinan naratif bukan provokasi, bukan emosi, tetapi solusi dan empati.
Politik yang berkesan hari ini ialah politik yang memahami kehidupan rakyat, bukan sekadar mempertahankan kedudukan parti.
Strategi agung Umno hanya akan berjaya jika tiga teras - kejelasan politik, kredibiliti dan persepsi digerakkan secara serentak. Satu atau dua sahaja tidak mencukupi.
Menjelang PRU16, cabaran sebenar Umno bukan sekadar memenangi kerusi, tetapi meyakinkan rakyat bahawa ia masih relevan, berprinsip dan mampu berfungsi sebagai penjamin kestabilan negara. Dalam politik tanpa dominasi, kestabilan adalah kuasa baru dan kepercayaan adalah prasyaratnya.
Jika Umno gagal memimpin naratif ini, maka PRU16 bukan sekadar ujian menang atau kalah, tetapi ujian sama ada parti itu masih mampu berfungsi sebagai tiang seri politik Malaysia.
NORMAN SAPAR adalah seorang penganalisis politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
