Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dituduh 'stim' - NGO belia dakwa polis provokasi demo di parlimen
Diterbitkan:  Jan 22, 2026 9:58 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Sebuah kumpulan belia, Mandiri mendakwa seorang pegawai polis cuba memprovokasi peserta satu demonstrasi aman yang berhimpun di luar bangunan Parlimen Malaysia untuk menyerahkan memorandum berkaitan undang-undang dadah.

Penyelaras Mandiri, Wong Kueng Hui berkata insiden ‘intimidasi’ itu berlaku sekitar tengah hari ketika kumpulan berkenaan berkumpul di hadapan pintu utama parlimen bagi menuntut pembaharuan undang-undang Malaysia berkaitan ganja.

“Namun suasana menjadi tegang apabila anggota polis tersebut bertindak secara provokatif dengan melontarkan tuduhan bahawa peserta himpunan berapa dalam keadaan 'stim' (dibawah pengaruh dadah), mengugut ingin menangkap serta mengeluarkan kata-kata kesat termasuk mencaci para demonstran...

“Tindakan ini jelas menunjukkan satu bentuk intimidasi, penyalahgunaan kuasa, tingkah laku tidak berintegriti, serta mencerminkan sikap samseng uniform yang langsung tidak selari dengan prinsip profesionalisme pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” dakwa Wong pada satu kenyataan.

Aktivis itu turut berkongsi satu klip video pendek mengenai insiden berkenaan, yang memaparkan sekumpulan peserta perhimpunan terlibat dalam pertikaman lidah dengan seorang lelaki berbaju-T kelabu gelap dan berseluar hitam, yang dipercayai seorang pegawai polis berdasarkan senjata api di pinggangnya.

Selepas pertengkaran menjadi semakin hangat, pegawai tersebut dilihat meluru ke arah kumpulan berkenaan namun dihalang oleh beberapa pegawai polis lain yang kemudiannya menenangkan keadaan.

Malaysiakini telah menghubungi polis Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklum balas.

Dalam kenyataannya, Wong menegaskan tugas polis untuk melindungi keselamatan dan ketenteraman rakyat, bukannya mengugut atau mengintimidasi mereka.

Dia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pegawai terbabit serta melaksanakan pelan untuk melengkapkan setiap anggota polis dengan kamera badan.

Sementara itu, Wong berkata kehadiran Mandiri pada himpunan itu bagi menyokong satu kumpulan yang dikenali sebagai Malaysian Cannabis Awareness Association untuk mendesak pembaharuan undang-undang narkotik di Malaysia.

Katanya, gerakan itu antaranya menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya yang menjenayahkan pengguna dadah, selain menuntut agar penagih dadah dilayan sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dan bukan dihantar ke penjara.

Memorandum kumpulan berkenaan diserahkan kepada wakil Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS