Kerajaan mengesahkan siasatan terhadap dakwaan salah laku melibatkan seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian yang tular sejak Nov lalu masih lagi berjalan.
Pejabat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bagaimanapun memaklumkan, tiada ulasan lanjut dapat diberikan kerana ia masih dalam proses siasatan.
"Ini tertakluk kepada peruntukan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan hanya boleh dikeluarkan melalui saluran yang diberi kuasa," kata pejabat KPPA kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Malaysiakini bertanya kepada Pejabat KPPA tentang status terkini siasatan ke atas KSU terbabit.
Semakan mendapati, kementerian yang berkaitan mendapat KSU baru sejak 24 Nov tahun lalu.
Isu berkenaan mula mendapat perhatian umum selepas tular sebuah klip video sepanjang 11 saat di media sosial mendakwa seorang KSU ditahan oleh pihak berkuasa agama.
Pegawai perkhidmatan awam terbabit disyaki berkhalwat ketika berada di Kota Kinabalu, Sabah.
Susulan itu, pada 9 Nov Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata seorang pegawai pengurusan tertinggi di sebuah kementerian direhatkan serta-merta berikutan tuduhan salah laku yang diterima.
Katanya, tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkenaan dimulakan segera.
"Saya mengambil maklum berkenaan satu kes tuduhan salah laku melibatkan pegawai pengurusan tertinggi di sebuah kementerian.
"Oleh yang demikian, pegawai akan direhatkan serta-merta sementara siasatan salah laku dimulakan segera," katanya.
Shamsul Azri berkata sekiranya pegawai terbabit didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
