Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Mohd Nizam Jaffar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta pecah amanah wang RM3 juta.
Mohd Nizam, 59, mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Rosli Ahmad.
"Faham pertuduhan Yang Arif, tidak mengaku salah,” katanya yang memakai sut lengkap berwarna hitam selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.
Terdahulu, dia yang bertongkat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.20 diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM267,481.90 bagi dirinya sendiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan melantik Sinar Bakti Global untuk menjalankan kerja pembekalan kain pelikat untuk bungkusan barang hari raya bagi 2025, dengan bernilai RM468,000.
Tertuduh juga melantik Sinar Raudhah Global untuk menjalankan kerja pembekalan kain batik untuk bungkusan barang hari raya bagi tahun sama, bernilai RM52,000.
Sebuah lagi syarikat, Zahra Jaya Global, pula dilantik untuk menjalankan kerja pembekalan multifunctional folding fliers untuk bungkusan barang hari raya bernilai RM750,000 kepada TKAT.
Tertuduh didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit.
Dituduh terima RM200,000
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA ATM mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM285,000 bagi dirinya dengan melantik QMZ Resources untuk kerja pembekalan tuala mandi bagi bungkusan barang hari raya 2025 RM600,000.
Dia juga didakwa melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja pembekalan beg galas bagi bungkusan berkaitan hari raya bernilai RM1,725,000 kepada TKAT, dan tertuduh mempunyai kepentingan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 – mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan di dalam syarikat Precious Amber International Bhd tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 4 Okt 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa sebagai PAT ATM menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd yang mungkin ada kaitan dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, manakala Mohd Nizam diwakili Peguam Abdul Aziz Hamzah.
Rosli membenarkan jaminan RM180,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan, bersama syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tangguh prosedur pembedahan
Dia juga mengarahkan agar tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan kes.
Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.
"Kami tidak membantah jika Yang Arif hendak menggunakan budi bicara itu, tetapi dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dan kedudukan tertuduh dalam masyarakat, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.
"Pendakwaan juga memohon agar pasport atau dokumen perjalanan tertuduh atau pasport diplomatik – jika ada – diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan. Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan yang akan disenaraikan kemudian sepanjang perbicaraan berlangsung," katanya.
Kes berkenaan dikendalikan oleh Ahmad Akram bersama dua lagi timbalan pendakwa raya iaitu Elyza Amira Habeeb Rahman dan Nidzuwan Abd Latip.
Bagaimanapun, Abdul Aziz memohon mahkamah melepaskan tertuduh dengan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan.
Menurut peguam itu, anak guamnya memerlukan jaminan berikutan sepanjang tempoh siasatan, beliau telah menangguhkan dan menjadualkan semula tiga prosedur pembedahan bagi memberi ruang kepada siasatan ke atasnya dilengkapkan segera.
"Tertuduh berhasrat menggunakan masa ini sehinggalah dibicarakan untuk menyelesaikan urusan kesihatan beliau.
“Tertuduh berkhidmat lebih kurang 42 tahun, telah memberikan komitmen dan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada angkatan tentera.
"Sebagai seorang yang komited dan penuh dengan profesionalisme, tertuduh berhasrat menggunakan sistem keadilan mahkamah ini bagi menjawab pertuduhan dan membersihkan nama beliau.
"Tertuduh juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan, telah hadir ke pejabat SPRM dan datang ke mahkamah hari ini bagi menghadapi pertuduhan," katanya.
Abdul Aziz yang mengendalikan kes bersama peguam Surya Putra Taulan berkata Mohd Nizam juga perlu menjaga ibu bapanya yang lanjut usia, serta bersetuju dengan syarat tambahan dimohon pendakwaan.
"Saya merayu budi bicara mahkamah agar jaminan minima diberikan kepada anak guam saya," kata Abdul Aziz.
- Bernama
