Dua warga asing menjadi kumpulan pertama di negara ini yang dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selepas didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat awam.
Keputusan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini melibatkan lelaki Bangladesh Sultan MD, 28 dan wanita Indonesia Anita Lukman, 49.
Mereka didakwa membuang puntung rokok dan botol plastik di sekitar kawasan Jalan Stulang Laut, Johor Bahru.
Hukuman tersebut dilaksanakan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Selain hukuman utama, mahkamah mempunyai kuasa mengenakan PKM sebagai hukuman tambahan bawah subseksyen 77B(1) akta yang sama.
Bagi kes pertama melibatkan Anita, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara 15 hari jika gagal membayar denda.
Dia turut diperintahkan menjalani PKM selama enam jam dalam tempoh enam bulan, dengan pelaksanaan maksimum dua jam sehari.

Bagi kes Sultan, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 28 Januari bagi mendapatkan khidmat penterjemah kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.
Mahkamah turut membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Kes itu mencatatkan sejarah sebagai pelaksanaan PKM pertama bagi kesalahan sampah kecil sejak peruntukan itu dikuatkuasakan secara rasmi pada 1 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed menegaskan tindakan mahkamah itu merupakan mesej jelas bahawa perbuatan membuang sampah kecil tidak lagi dipandang ringan.
"Swcorp tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan kebersihan awam dan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan secara bersepadu di seluruh negara," katanya dalam kenyataan.
Ada 13 kes lagi
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 13 kes lagi dijadualkan untuk sebutan antara 26 Januari hingga 16 Februari ini melibatkan beberapa Mahkamah Sesyen termasuk di Pengerang, Temerloh, Sungai Petani, Alor Setar, Seremban dan Kuala Lumpur.
Kes-kes tersebut melibatkan 13 pesalah lelaki yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dari Indonesia, Nepal serta Singapura.
Sehingga 22 Januari 2026, Swcorp mengeluarkan 418 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh buah negeri yang menerima pakai Akta 672.
Daripada jumlah itu, 315 kes melibatkan warganegara tempatan manakala 103 kes adalah warga asing.
Sebagai persediaan, Swcorp melaksanakan simulasi operasi merangkumi penyelarasan tugasan, penggunaan peralatan keselamatan dan pemantauan bagi memastikan hukuman dilaksanakan mengikut perundangan.
