Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekat keluar malam, denda: Kumpulan siswa kecam peraturan baru UM

Beberapa kumpulan penuntut Universiti Malaya (UM) mengecam peraturan kampus baru yang merangkumi sekatan keluar malam dan denda, dengan menyifatkan langkah itu sebagai satu tamparan terhadap autonomi mahasiswa.

Pada sidang media bersama hari ini, wakil Universiti Malaya New Youth (Umany), Suara Siswa dan Siswa Malaya mengutuk tindakan universiti yang disifatkan sebagai dibuat secara tergesa-gesa, memandangkan keputusan itu diumumkan ketika musim peperiksaan.

Bantahan itu menyusuli siri jelajah yang diadakan antara 15 hingga 23 Januari, dengan pihak pentadbiran universiti menjelaskan mengenai dasar hukuman tatatertib baru, yang akan dilaksanakan bermula semester akan datang pada Mac.

Antara kesalahan baru yang diumumkan dan boleh dikenakan denda termasuk pelanggaran sekatan keluar malam tengah malam bagi mahasiswa yang tinggal di kampus, bunyi bising berlebihan, serta pelanggaran kod pemakaian universiti.

Eksekutif semak dan imbang Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Akil Shamil Mohamed (gambar atas) berkata sekatan keluar malam yang baru itu bercanggah dengan norma kehidupan para penuntut, memandangkan ramai yang perlu berada di luar kampus sehingga lewat malam.

“UM selama ini dikenali kerana tidak mengenakan sebarang sekatan keluar malam. Kita tidak pernah ada sekatan dan pintu pagar sentiasa dibuka 24 jam.

“Ramai mahasiswa terlibat dalam projek yang memerlukan mesyuarat sehingga jam 1 pagi.

"Bagaimana kami sepatutnya menjalankan mesyuarat ini dan kembali ke kolej sebelum jam 12 tengah malam,” soalnya ketika ditemui di hadapan Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya hari ini.

Nur Akil turut menyatakan universiti mempunyai beberapa kemudahan yang beroperasi 24 jam di dalam kampus dan sekatan keluar malam yang baru itu bercanggah dengan kewujudan ruang-ruang tersebut.

Kebanyakan universiti awam di Malaysia mengenakan sekatan keluar malam yang mewajibkan mahasiswa yang tinggal di kampus kembali sebelum jam 12 tengah malam atau berdepan tindakan disiplin.

Sehingga baru-baru ini, UM dan Universiti Kebangsaan Malaysia antara beberapa universiti awam yang tidak mengenakan sekatan sedemikian.

Menurut Presiden Umany, Tang Yi Ze, sekatan keluar malam yang baru itu mewajibkan pintu pagar kolej ditutup pada jam 12 tengah malam dan penuntut universiti yang gagal tiba sebelum waktu tersebut akan dikenakan denda.

Tegasnya, sebahagian peraturan baru itu bersifat sangat subjektif, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa universiti.

“Sebagai contoh, Peraturan 25 berkaitan kesalahan menyebabkan bunyi bising adalah sangat subjektif. Ia secara efektif memberikan kuasa mutlak kepada pihak berkuasa untuk menentukan kesalahan dan mengenakan hukuman ke atas sesiapa sahaja yang mereka pilih.

“Ambil suara saya sekarang sebagai contoh. Adakah ini boleh dianggap atau ditakrifkan sebagai ‘bunyi bising’? Kita tidak tahu. Ia bergantung sepenuhnya kepada budi bicara pihak berkuasa.

“Ini satu contoh bagaimana pihak berkuasa diberikan kuasa berlebihan, yang membolehkan mereka mensabitkan dan menghukum sesiapa sahaja mengikut budi bicara mereka,” katanya.

Naib presiden Suara Siswa, Thishant Sai Sugaythran (gambar atas) pula berkata denda yang dikenakan adalah berlebihan, dengan penalti antara RM50 hingga RM250 manakala kesalahan berulang boleh dikenakan denda sehingga RM500.

Mahasiswa yang gagal melunaskan denda pula akan disekat daripada konvokesyen tamat pengajian.

KMUM dituduh subahat

Selain itu, kumpulan berkenaan turut mengecam Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) kerana didakwa gagal mengambil tindakan sewajarnya walaupun telah dimaklumkan mengenai keputusan universiti itu sebulan lebih awal.

Tang mendakwa kesatuan siswa itu telah dimaklumkan mengenai dasar baru berkenaan dalam satu mesyuarat bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada 16 Disember tahun lalu namun gagal memaklumkannya kepada para penuntut universiti.

“Apa yang lebih mengecewakan ialah mereka tidak membantah perkara ini secara terbuka.

“Dengan terus berdiam diri dan memilih untuk tidak bersuara, mereka membenarkan pihak pentadbiran universiti melaksanakan hukuman tatatertib yang menindas dan tidak adil,” kata Tang, sambil menambah badan siswa tidak seharusnya menjadi ‘yes-man’ kepada pentadbiran.

Malaysiakini telah menghubungi KMUM dan pihak universiti untuk mendapatkan maklum balas.

Kumpulan berkenaan menggesa pembatalan segera dasar itu dan menuntut universiti mengadakan dialog telus dengan mahasiswa.

Tang menegaskan penuntut universiti berhak dimaklumkan mengenai sebarang peraturan dan dasar baru yang akan dilaksanakan oleh pihak pentadbiran.

“Jika kami tidak dimaklumkan, bagaimana kami sepatutnya mematuhi peraturan dan dasar tersebut?

“Oleh itu, kami menuntut universiti menarik balik peraturan ini, menghentikan pelaksanaan serta penguatkuasaan hukuman berkenaan, dan menggesa KMUM untuk bangkit mempertahankan mahasiswa,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS