Kabinet hari ini memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) 2025 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang lalu, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Dalam sidang media hari ini, Fahmi yang merupakan jurucakap kerajaan berkata keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan beberapa pindaan dilakukan terhadap RUU berkenaan untuk “ditambah baik”.
Dia berkata, kabinet mengambil keputusan itu selepas mengambil kira perbahasan para ahli Parlimen di Dewan Rakyat, serta maklum balas daripada Umno dan anggota kabinet yang lain.
“Jemaah menteri setuju RUU ini ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan yang akan diteliti, dibincang dan diputuskan oleh jemaah menteri (kemudian)
“Ia seterusnya akan dibentang semula dalam bentuk baru di Parlimen,” katanya.
Fahmi berkata cadangan udang-undang tersebut akan dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara untuk dipinda dan kemudian disemak oleh kabinet sebelum dibentangkan semula di Dewan Rakyat.
Ditanya bila versi baru RUU itu dijangka dapat dibentangkan, Fahmi berkata ia mungkin mengambil sedikit masa kerana pihaknya baru sahaja menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memulakan proses berkenaan.
Kerajaan membentangkan RUU PSB untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos 2025.
Susulan bantahan hebat terhadap RUU tersebut, yang dikritik oleh pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan perbahasannya.
Dalam respons segeranya, Umno menyatakan parti itu mengalu-alukan keputusan tersebut.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya tidak membantah pembangunan bandar, namun berpandangan RUU itu perlu ditambah baik.
“Umno menegaskan bahawa RUU PSB hanya wajar dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk baru setelah semua cadangan penambahbaikan diambil kira,” katanya.
Pelan pendidikan
Sementara itu, Fahmi memaklumkan kerajaan akan memberikan perincian lanjut mengenai laluan ke universiti awam bagi pelajar yang mengikuti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) atau aliran tahfiz.
Dia berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjelaskan perkara tersebut susulan pengumumannya mengenai pelan pendidikan baru pada Selasa lalu.
“Insya-Allah, kedua-dua kementerian akan mengadakan sesi taklimat bersama media minggu depan bagi memberikan penjelasan menyeluruh,” kata Fahmi.
Semasa melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, Anwar berkata pembelajaran Bahasa Malaysia dan sejarah pada peringkat SPM menggunakan kurikulum kebangsaan akan diwajibkan bagi semua sekolah, termasuk sekolah agama, persendirian dan antarabangsa.
