Ketua Biro Undang-Undang Wanita DAP, Sangeet Kaur, mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memberikan kemas kini yang “jelas dan substantif” mengenai kes kapal selam Scorpene, termasuk sama ada siasatan itu masih aktif dan apakah langkah-langkah yang telah diambil sejak petunjuk baru dikenal pasti.
Susulan skandal rasuah yang menggemparkan institusi ketenteraan, peguam itu berkata usaha untuk membanteras rasuah dalam perolehan pertahanan kini diberi perhatian semula.
“Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa rasuah dalam ketenteraan dan institusi-institusi negara lain mesti ditangani,” katanya dalam satu kenyataan.
Sangeet menegaskan bahawa perolehan kapal selam Scorpene merupakan isu lama yang wajar diberi perhatian semula, memandangkan ia masih belum diselesaikan lebih dua dekad selepas urus niaga tersebut.

Pada 2024, SPRM mengesahkan bahawa siasatan terhadap pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 masih diteruskan.
Suruhanjaya itu telah mengenal pasti petunjuk baru, termasuk kemungkinan penyelewengan kira-kira RM42 juta yang dikaitkan dengan pembayaran di bawah kontrak Scorpene, dengan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Sangeet turut menyatakan bahawa sejak kenyataan tersebut dibuat pada 2024, tiada lagi perkembangan terkini berhubung status atau hala tuju siasatan kes Scorpene.
Dia berkata, perolehan Scorpene selama ini telah menarik perhatian di luar Malaysia, dengan pihak kehakiman asing menjalankan siasatan rasuah berkaitan yang berpunca daripada urus niaga sama.
"Pertubuhan masyarakat sivil telah berulang kali menuntut ketelusan dan kerjasama yang jelas, kerana sehingga kini tiada hasil nyata walaupun siasatan sering dikatakan masih berjalan.
“Malahan, adalah satu fakta rekod awam bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebelum memegang jawatan, pernah secara terbuka mempersoalkan ketiadaan kemajuan domestik dalam siasatan Scorpene dan menuntut pertanggungjawaban berhubung urus niaga tersebut, khususnya mengambil kira tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa asing.
“Namun, sejak memikul tanggungjawab eksekutif, tiada sebarang makluman terkini mengenai pendirian kerajaan berhubung status siasatan Scorpene,” tambahnya.
Menurut Sangeet, memandangkan rasuah dalam perolehan pertahanan kini diakui sebagai masalah serius, kerajaan patut menjelaskan pendiriannya, seperti gesaan sebelum ini.
Pembelian dua buah kapal selam itu berlaku pada 2002 ketika bekas perdana menteri, Najib Razak menjawat menteri pertahanan.

Kapal selam tersebut, yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak, masing-masing tiba di Malaysia pada Sept 2009 dan Julai 2010.
Namun begitu, perolehan tersebut dibayangi kontroversi di Malaysia dan juga di Perancis.
Pada April 2022, seorang hakim Perancis mendakwa syarikat pertahanan Thales atas pertuduhan bersubahat dalam rasuah berkaitan penjualan kapal selam kepada Malaysia. Ketika itu, Thales menyatakan bahawa pihaknya “menafikan dengan tegas” pertuduhan tersebut.
