Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Atlet Olimpik saman MBPJ, kerajaan S'gor sebab larang bela anjing di kondo
Diterbitkan:  Jan 23, 2026 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Atlet Olimpik, Noraseela Khalid, memfailkan saman terhadap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kerajaan Selangor berhubung larangan membela anjing peliharaan di pangsapuri.

Dia memfailkan saman itu pada 19 Januari di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Seksyen 8(2) Peraturan MBPJ mengenai Lesen Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (2007) adalah tidak sah.

Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Noraseela, Rajesh Nagarajan, berkata peraturan itu bercanggah dengan undang-undang persekutuan — termasuk Akta Kerajaan Tempatan (1976) dan Akta Pengurusan Strata (2013) — yang membenarkan pemilikan anjing selagi ia tidak mengganggu atau membahayakan keselamatan awam.

“Ini kes jelas di mana majlis tempatan bertindak melebihi kuasa undang-undangnya. Daripada mengawal secara bertanggungjawab, mereka mengenakan larangan menyeluruh yang tidak sah dan sewenang-wenangnya, tanpa bukti, tanpa kesesuaian, atau kuasa sah.

“Penyalahgunaan kuasa seperti ini tidak boleh dipertahankan secara undang-undang, dan apabila majlis meletakkan kemudahan di atas hak perlembagaan, mahkamah perlu campur tangan,” katanya.

Menurut peraturan berkenaan, mana-mana individu tidak dibenarkan memiliki, memelihara atau menempatkan anjing di atas aras bawah mana-mana bangunan.

Peraturan itu juga mewajibkan pemilik anjing di rumah teres atau banglo mendapatkan lesen dan mendaftarkan haiwan peliharaan mereka. Mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Selain pemilik anjing berdaftar yang gagal mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, dipenjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Penduduk bimbang

Rajesh berkata dia dihubungi Noraseela pada Dis tahun lalu selepas pihak pengurusan kondominium tempat tinggalnya menyuarakan kebimbangan mengenai pemilikan haiwan peliharaan.

Dia turut memberitahu sebelum ini pernah dihubungi oleh penduduk kondominium lain di Petaling Jaya yang mempunyai aduan serupa.

“Kalau ada isu lesen dan pentadbiran untuk mengawal perkara ini, itu boleh diterima. Tetapi di sini, mereka mengenakan larangan menyeluruh (kepada anjing di apartmen).

“Anda tidak boleh terus melarang orang memelihara haiwan. Itu tidak boleh diterima.

“Majlis tempatan seolah-olah lupa bahawa mereka adalah penjawat awam. Tugas mereka membantu rakyat, bukan mencipta undang-undang untuk menindas orang ramai.

“Kita perlu mencabar undang-undang ini. MBPJ bergantung kepada undang-undang yang tidak sah untuk menindas pemilik haiwan peliharaan,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS