Pengerusi PH Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan memohon kerajaan negeri untuk menimbang semula projek pengurusan penternakan ladang babi berpusat di Bukit Tagar.
Dr Sathia membangkitkan lokasi projek itu yang terlalu dekat dengan tapak pelupusan sampah terbesar di situ, yang disifatkannya sebagai “resipi bencana ekologi dan kesihatan”.
"Keselamatan biosekuriti sukar dijamin apabila dua entiti yang mempunyai beban pencemaran tinggi diletakkan bersebelahan.
"Lalat, tikus, dan burung pemakan bangkai sering berulang alik antara tapak pelupusan sampah dan kawasan ternakan. Vektor ini boleh membawa kuman, bakteria seperti Salmonella atau E. coli, serta virus bahaya dari sisa sampah terus ke dalam ladang ternakan.
"Jika kualiti daging terjejas akibat persekitaran yang kotor, ia bukan sahaja merugikan penternak, malah membahayakan kesihatan pengguna yang membeli produk tersebut di pasaran," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata ladang babi di Tanjung Sepat akan dipindahkan secara berfasa ke pusat penternakan babi berpusat di Bukit Tagar yang terletak di Hulu selangor dalam tempoh tiga tahun.
Memaklumkan projek itu terletak berhampiran tapak pelupusan sampah, dia menggambarkan tiada sesiapa yang akan sanggup tinggal di kawasan tersebut, bukan orang Melayu sahaja.
"Tidak timbul di situ kawasan orang Melayu atau kaum lain sedangkan tiada penempatan di kawasan tersebut. Perkara ini juga saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan Selangor dan baginda amat memahami perkara tersebut,” kata Izham.
‘Risiko wabak baru’
Mengulas lanjut, Dr Sathia yang juga Ketua PKR Hulu Selangor berkata tapak pelupusan sampah menghasilkan cecair toksik yang boleh masuk ke dalam punca air bawah tanah.
"Jika ladang babi tersebut menggunakan sumber air yang sama atau jika berlaku limpahan sisa ladang ke sungai berdekatan, ia akan mengakibatkan pencemaran bertingkat yang sangat sukar untuk dipulihkan," katanya lagi.
Perlu dinyatakan bahawa tapak pelupusan sampah di Bukit Tagar adalah tapak pelupusan sanitari Tahap 4. Infrastrukturnya merangkumi lapisan pelapik untuk mengelakkan bahan larut lesap daripada mencemarkan air bawah tanah, serta kemudahan rawatan di tapak untuk memproses dan membersihkan bahan tersebut.
Laman web rasmi tapak pelupusan itu menyatakan bahawa walaupun efluen daripada loji rawatan memenuhi piawaian alam sekitar untuk dilepaskan ke saluran air terbuka, ia sebaliknya digunakan untuk mengairi sebuah kawasan.
Dia yang merupakan doktor perubatan membangkitkan risiko berlakunya penyakit zoonotik - iaitu penyakit yang berpindah dari haiwan ke manusia - dan berkata kawasan yang kotor adalah “titik panas” bagi mutasi virus.
“Maka, meletakkan kawasan ternakan di sebelah kawasan sisa buangan adalah satu tindakan yang sangat berisiko tinggi bagi kemunculan wabak baru.
"Saya tidak menolak pembangunan industri ladang babi, namun lokasi mestilah strategik dan mematuhi garis panduan zon industri asas tani yang ketat.
"Bagi pandangan saya, Bukit Tagar sudah mempunyai beban persekitaran yang cukup berat dengan adanya tapak pelupusan sampah sedia ada,” katanya lagi, sambil menambah Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Impak Kesihatan Sosial (HIA) yang lebih menyeluruh perlu dibuat berhubung projek itu.
