Amerika Syarikat (AS) secara rasmi melengkapkan penarikan dirinya daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menamatkan keahlian selama hampir 78 tahun dalam agensi kesihatan PBB itu, menurut pegawai AS, lapor Anadolu Ajansi.
Penarikan diri itu berkuat kuasa pada 22 Jan 2026, susulan tempoh notis satu tahun yang diperlukan di bawah peraturan antarabangsa.
Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Robert F. Kennedy Jr. mengumumkan langkah itu, dengan menyatakan bahawa AS menarik diri daripada WHO dan membebaskan dirinya daripada kekangan organisasi tersebut.
Pegawai berkenaan memberi alasan yang menyifatkan kegagalan WHO semasa pandemik Covid-19, termasuk pengendalian wabak yang bermula di Wuhan, China.
Mereka menuduh agensi itu mengejar agenda berpolitik dan birokrasi, menghalang perkongsian maklumat tepat pada masanya dan bertindak menentang kepentingan AS di bawah pengaruh negara yang memusuhi AS.
Mereka berkata penglibatan AS dengan WHO kini akan dihadkan secara khusus hanya untuk menjalankan proses penarikan diri serta melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat Amerika.
Semua pembiayaan dan kakitangan AS bagi inisiatif WHO telah dihentikan, menurut kenyataan itu.
Kakitangan AS telah dipanggil balik dan negara itu telah mengalihkan tumpuannya kepada rakan kongsi dua hala secara langsung dan pendekatan bebas terhadap usaha kesihatan global, kata pegawai berkenaan.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus telah berulang kali melahirkan rasa kesal terhadap keputusan itu, menyifatkan penarikan diri tersebut sebagai situasi yang merugikan kedua-dua pihak dan menyatakan bahawa ia bukan satu keputusan yang tepat.
WHO ditubuhkan pada 7 April 1948.
AS merupakan antara penandatangan asal perlembagaannya pada 1946 dan meratifikasinya secara rasmi pada Jun 1948, sekali gus menjadi anggota pengasas.
-Bernama
