mk-logo
Berita
Lawan catur tepi jalan, ibu latih anak autistik bina keyakinan diri

Sebuah meja catur di kawasan penjaja Senawang Prima, Seremban, menjadi simbol usaha seorang ibu membantu anaknya, Muhammad Nur Raziq Muhammad Nur Qisti, 12 untuk mengasah bakat dan membina keyakinan diri dengan berlatih bermain catur bersama orang ramai di tepi jalan.

Nur Syazana Zakaria, 36, seorang peniaga makanan tidak pernah menyangka permainan yang dulu dianggap sekadar hobi itu kini menjadi ruang terapi, latihan mengawal emosi, dan sumber harapan bagi anaknya yang merupakan kanak-kanak autistik.

Kisah Raziq mengajak orang ramai bermain catur di kawasan penjaja itu menjadi tular selepas ibunya memuat naik pengalaman tersebut di platform Facebook.

“Raziq seorang anak yang kurang bercakap dan lebih suka buat hal sendiri,” kata Nur Syazana kepada Malaysiakini ketika berkongsi keperibadian anak sulung daripada dua beradik itu.

Raziq disahkan berada dalam spektrum autisme ketika berusia dua tahun. Sebagai ibu yang pertama kali melalui pengalaman tersebut, Nur Syazana mengakui bukan mudah dia dan suami menerima kenyataan itu.

“Kami mendapati dia disahkan sebagai autistik. Kami pegang satu saja - kami perlu bantu dia,” katanya.

Menurut Nur Syazana, cabaran paling besar membesarkan Raziq adalah apabila anaknya itu kerap mengalami gangguan emosi (emotional meltdown).

Tambahnya, minat Raziq terhadap permainan catur bermula secara tidak sengaja apabila ia dikesan guru sekolah rendah yang menghantarnya menyertai satu pertandingan catur.

“Tak sangka Raziq berjaya ke peringkat seterusnya. Dari situlah dia mula lebih serius dalam catur,” kata ibunya.

Nur Syazana hanya memperkenalkan buah-buah catur kepada Raziq sekitar usia tujuh hingga lapan tahun melalui internet dan gajet. Selebihnya, Raziq belajar sendiri - malah pada peringkat awal, dia bermain catur tanpa papan catur di rumah.

Sejak mendalami permainan itu, satu perubahan ketara dapat dilihat oleh ibunya iaitu Raziq menjadi lebih pendiam dan lebih banyak berfikir.

Walaupun Raziq sudah dimasukkan ke kelas catur, Nur Syazana merasakan latihan yang ada masih tidak mencukupi. Latihan secara dalam talian pula kurang sesuai dengan keadaan Raziq.

“Masalah Raziq membataskannya. Saya sudah lama cari orang untuk dia berlatih, tapi ada kekangan masa dan tempat,” jelasnya.

Sebagai seorang peniaga, Nur Syazana tidak mampu menghantar Raziq untuk latihan tambahan.

Dari situlah tercetus idea membuka meja catur di tapak niaga.

“Saya fikir, kalau saya tak boleh keluar, saya ajak mereka datang ke gerai. Pada masa sama saya boleh meniaga, jaga anak-anak, dan Raziq boleh berlatih sekali gus,” katanya.

Pendapatan meniaga itulah yang digunakan untuk menampung kos latihan dan penyertaan pertandingan catur.

Tawaran RM2

Di meja catur itu, Nur Syazana menawarkan ganjaran kecil sebanyak RM2 bagi sesiapa yang dapat menewaskan Raziq sebanyak dua kali.

Namun tawaran itu sebenarnya mempunyai tujuan.

“Raziq seorang yang sayangkan duit, jimat cermat. Jadi dia perlu korbankan duit dia kalau dia tak bermain dengan serius,” katanya.

Pendekatan itu dilakukan bagi memastikan Raziq kekal fokus dan bersungguh-sungguh walaupun hanya berlatih di tepi jalan.

Namun, tidak semua dalam kalangan orang ramai memahami niat tersebut. Menurut Nur Syazana, ada yang mempertikaikan cabaran itu dan mengaitkannya dengan unsur perjudian.

“Sebagai ibu, memang ada yang mengganggu emosi. Kami ambil masa seminggu berbincang dan memujuk Raziq untuk merealisasikan idea ini. Bila ada komen negatif, saya risau kalau ada yang berkata depan Raziq,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, rata-rata orang ramai memberikan reaksi positif.

Ada yang singgah bermain dengan Raziq, malah ada ibu bapa yang sanggup membawa anak mereka untuk bermain catur dengannya.

Setakat ini, Raziq telah bermain dengan tujuh orang di tapak niaga tersebut - menang empat perlawanan, seri dua kali dan hanya kalah sekali.

Dalam masa yang sama, Raziq turut menjalani latihan dalam talian melalui platform Lichess dengan skor 1466, satu pencapaian yang dianggap melebihi purata.

Dari segi perkembangan diri, Nur Syazana melihat perubahan positif dalam rutin seharian Raziq seperti dia kini lebih berkeyakinan walaupun berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali.

“Sekarang Raziq lebih yakin untuk bermain. Dia lebih berpandangan positif terhadap diri dia dalam catur,” katanya.

Meningkatkan fokus

Permainan itu juga membantu Raziq meningkatkan fokus, mampu duduk lebih lama dalam satu keadaan, serta lebih berdisiplin dengan meluangkan masa berlatih berbanding bermain permainan dalam talian lain.

Paling penting, Raziq gembira dan tidak berasa tertekan.

Nur Syazana menyimpan harapan besar agar Raziq terus menunjukkan minat dan maju dalam dunia catur, meskipun berdepan pelbagai rintangan.

“Dengan penuh harapan, saya juga merancang untuk menghantar Raziq ke latihan formal dan pertandingan, termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa.,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Nur Syazana menitipkan satu mesej kepada masyarakat mengenai anak-anak autisme.

“Jangan menghakimi mereka tanpa mengenali mereka. Mereka boleh jadi anak yang sangat hebat jika diterima dan dibantu dengan baik dan betul,”ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS