ULASAN | Menghairankan apabila dua anggota parlimen PKR membangkitkan persoalan mengenai 68.4 hektar tanah yang diperuntukkan kepada kumpulan Jakel yang kontroversi (ya, kumpulan yang terbabit dengan isu tanah kuil di Kuala Lumpur) oleh kerajaan Selangor, dengan meminta kerajaan negeri membeli semula tanah itu.
Lebih menghairankan lagi apabila Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, seorang pemimpin PKR, tidak menjawab permohonan berulang kali untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang dibangkitkan mengenai peruntukan itu dan kronologinya, yang membawa kepada syak wasangka dan bukannya keyakinan.
Dua anggota parlimen tersebut, Wong Chen dari Subang dan Lee Chean Chung dari Petaling Jaya, menggesa kerajaan Selangor membeli semula tanah yang sebelum ini dijual kepada entiti swasta berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong.

Menurut carian yang mereka lakukan, entiti swasta tersebut adalah Perano Properties Development Sdn Bhd, yang disenaraikan dalam risalah korporat Jakel sebagai sebuah syarikat bawah bahagian pembangunan hartanahnya.
Jakel, yang bermula sebagai syarikat perdagangan tekstil, kini merupakan kumpulan yang mempunyai pelbagai cabang perniagaan dengan kepentingan besar dalam hartanah dan bidang lain.
Syarikat itu terbabit dalam pertikaian mengenai sebidang tanah di Kuala Lumpur, di mana terdapat sebuah kuil Hindu di situ.
Pada 15 Januari, mereka meminta kuil tersebut dikosongkan, dengan bayaran RM1 juta jika dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.
Kembali kepada isu Hutan Simpan Ayer Hitam, dalam kenyataan bersama mereka, Wong dan Lee berkata pada 16 Disember, pejabat parlimen Subang mengeluarkan surat kepada Amirudin untuk mendapatkan sejarah kronologi dan transaksi ke atas 68.4 hektar tanah berhampiran hutan simpan itu, yang merupakan sebahagian daripada kawasan parlimen Subang.
Surat peringatan dikeluarkan pada 6 Januari, namun tiada jawapan.
Harga tanah yang rendah
Mengenai transaksi tersebut, mereka mengenal pasti kira-kira 56.3 hektar tanah daripada 68.4 hektar yang dilaporkan. Transaksi yang dikenal pasti adalah seperti berikut: Lot PT 53649, 53654, 53660, 53916, 53917, 53924, dan 83355.
Transaksi untuk enam lot pertama berjumlah 0.3 hektar berlaku pada 21 September 2012. Pembelinya adalah Perano Properties.
Tanah-tanah ini dijual ketika itu oleh setiausaha kerajaan negeri Selangor pada harga jualan keseluruhan RM468,824.00, bersamaan dengan RM13.80 bagi setiap kaki persegi.
"Bagi Lot PT 83355 seluas 56 hektar, transaksi berlaku pada 5 Ogos 2019, hampir tujuh tahun selepas jualan pertama, juga kepada Perano Properties tetapi vendornya adalah Menteri Besar Selangor (Diperbadankan), pada harga jualan RM83,174,102, bersamaan dengan RM13.80 bagi setiap kaki persegi," kata Wong.

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak bertanya soalan ini - mengapa sebidang tanah yang dijual tujuh tahun kemudian masih diletakkan pada harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi?
Sudah tentu harga tanah meningkat banyak, walaupun kita mengambil kira hakikat bahawa jualan terakhir adalah jauh lebih besar iaitu lebih 55.8 hektar berbanding 0.3 hektar untuk lima lot pertama.
Semakan saya sendiri menunjukkan iProperty, laman web hartanah, menyenaraikan seekar tanah pajakan di kawasan Ayer Hitam dijual pada harga RM3.2 juta pada September 2022, memberikan harga RM73 bagi setiap kaki persegi, iaitu lebih lima kali ganda daripada RM13.80.
Bahagian yang lebih besar diperuntukkan pada harga bawah pasaran. Perjanjian pertama yang dibuat pada 2012 mungkin tidak mempunyai masalah kerana dilakukan bertahun-tahun dahulu pada RM13.80 sekaki persegi untuk 0.3 hektar atau jumlah harga bawah RM470,000. Menteri besar ketika itu ialah mendiang Abdul Khalid Ibrahim.
Transaksi yang membimbangkan adalah yang kedua pada 2019, ketika harga yang dibayar adalah sekitar RM83 juta untuk 56 hektar, pada harga yang sama iaitu RM13.80 sekaki persegi, tujuh tahun kemudian.
Tidak ada kewajaran bagi perkara itu. Amirudin berkhidmat sebagai menteri besar pada masa tersebut.
Pembelian semula langkah terbaik
Anggota parlimen terbabit berkata mereka tidak dapat mencari butiran mengenai baki hampir 12.1 hektar, walaupun mereka menjangkakan ia pada harga yang sama.
Mereka mencadangkan agar kerajaan negeri membeli semula kesemua 68.4 hektar pada harga asal ditambah dengan lapan peratus kadar pulangan kompaun. Ini akan berjumlah sekitar RM193 juta, tambah mereka.

Itu akan menjadi tindakan yang baik untuk mendapatkan semula wang yang hilang akibat penetapan harga tanah yang rendah, mengambil kira kemungkinan memujuk pembeli untuk melepaskan tanah tersebut pada harga itu.
Persoalan tetap ada mengenai bagaimana peruntukan terbaru pada 2019 dibuat. Bagaimana harga tujuh tahun sebelumnya pada 2012 boleh menjadi asas transaksi tujuh tahun kemudian?
Ini menunjukkan amalan yang buruk, atau paling teruk adalah rasuah, dan wajar disiasat dengan sedalam-dalamnya.
Namun adakah ia, seperti insiden lain yang memerlukan penjelasan dan siasatan, hanya akan tidak diendahkan oleh kerajaan Madani ini?
P GUNASEGARAM berkata terlalu ramai yang menjadi kaya melalui transaksi tanah yang tidak sihat.
Tulisan ini diterjemahkan daripada versi asal dalam bahasa Malaysia dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
