Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menegur pihak yang “memakai seragam”, memegang kuasa dan membawa nama institusi tertentu yang tidak mempunyai integriti serta maruah.
Sambil menyifatkan kumpulan terbabit melakukan pengkhianatan kepada negara, baginda turut menggambarkan perbuatan seumpama itu bukan hanya penyalahgunaan kuasa, tapi “kejahatan berjawatan”.
"Maruah bangsa tidak diukur oleh ketinggian bangunan atau angka dalam akaun, tetapi nilai yang kita pertahankan ketika berdepan godaan kuasa.
"Hari ini, ada yang memakai seragam, memegang kuasa dan membawa nama institusi, namun tangan kotor dan hati mati.
“Mereka bukan sekadar merosakkan imej organisasi, (sebaliknya) mereka mencuri masa depan anak bangsa.
"Rasuah itu bukan rezeki, ia najis... Penyalahgunaan kuasa itu bukan kebijaksanaan, ia racun, dan kekayaan haram itu bukan kejayaan, ia kutukan yang menunggu waktu," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Program Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat.
Wacana itu dianjurkan Majlis Belia Malaysia dan berlangsung di Kuantan, Pahang, hari ini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, pula hadir sebagai wakil rasmi menteri besar.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, negara ini memiliki ramai orang yang bijak namun kekurangan orang yang berani.
Tegas bukan suatu kezaliman
Titahnya, golongan belia perlu bangkit dan memutuskan rantaian yang kotor agar menjadi generasi yang tidak boleh diugut atau dibeli.
"Jika kamu diberi kuasa dan menjadi angkuh, kamu telah gagal. Jika kamu diberi wang dan kamu lupa amanah, kamu telah rosak. Jika kamu diberi pangkat dan kamu berasa kebal, kamu sedang menempa kehancuran.
"Jangan wariskan kepada anak cucu negara yang megah pada bangunan, tetapi busuk pada asas," titah baginda lagi.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan mereka yang berkuasa dalam hal membabitkan pemberian taraf kewarganegaraan untuk menjalankan tugas dengan lebih tegas.

Titah baginda, pemberian taraf kewarganegaraan bukan urusan kecil kerana ia melambangkan kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang individu.
"Dalam menyentuh perihal kedaulatan negara, ada beberapa isu perlu dilihat dan membimbangkan.
"Antaranya berkaitan pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan.
“Perkara ini bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah, integriti, keadilan dan maruah bangsa yang berdaulat.
"Kewarganegaraan bukan sekeping dokumen dan bukan sekadar pengiktirafan undang-undang... ia adalah ikrar kesetiaan, sumpah setia kepada raja dan negara.
"Saya ingin mengingatkan kepada semua yang bertanggungjawab, ketegasan dalam perkara ini bukanlah kezaliman, tetapi benteng kedaulatan negara... jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat dan lunturlah maruah negara di mata dunia," titahnya.
