Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Silapnya bandingkan budu, belacan dengan babi

ULASAN | Gemparlah ramai orang apabila Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin membuat perbandingan amalan rasuah dan dadah dengan orang yang makan babi atau tidak.

Sebagai orang Dayak, katanya, mereka juga tidak menghina makanan orang lain yang berlainan bangsa atau agama.

Perbandingan menarik perhatian yang digunakan oleh Willie ialah budu dan belacan dengan bau babi.

Kenyataan ahli parlimen itu jelas menunjukkan dia tidak faham isu sebenarnya. Tugas seseorang ahli parlimen ialah:

  • Mewakili rakyat di kawasan yang dimenanginya

  • Menggubal undang-undang

  • Menjadi peneliti kerajaan dari segi belanjawan dan menjalankan tugas semak dan imbang

  • Menjadikan parlimen sebagai tempat perbincangan isu awam

  • Memastikan keadilan tertegak dan menggalakkan perpaduan

  • Menyemak perbelanjaan kerajaan seperti meluluskan belanjawan dan cukai baru

  • Mematuhi Perlembagaan Persekutuan

Apa yang tidak kena dengan kenyataan Willie ialah, tidak ada sesiapa pun menghina makanan orang Dayak atau pemakan babi lain, tetapi dia memperlekehkan makanan orang lain seperti belacan dan budu itu.

Isu ladang babi berlaku di Hulu Selangor dan ia tidak ada kena-mengena dengan penduduk Sarawak, apatah lagi orang di Puncak Borneo. Dalam keadaan itu sepatutnya Willie menyuarakan masalah rakyat di Puncak Borneo.

Masalah jalan raya, misalnya, atau isu hospital, kemelut penduduk setempat dan lain-lain yang berkaitan.

Malah, ada kemungkinan projek ternakan babi boleh dipindahkan ke sana.

Seorang penggubal undang-undang perlulah berfikiran analitikal dan bercakap berdasarkan fakta.

Polemik mengenai babi ialah persoalan tentang babi hidup, bukannya babi yang sudah diproses. Budu dan belacan pula ialah makanan yang telah diproses.

Budu dan belacan jauh berbeza berbanding babi di dalam kandang. Budu ialah makanan yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam bersama garam untuk tempoh yang lama sebelum dibotolkan.

Ahli Parlimen Puncak Borneo WIllie Mongin

Tindakan kurang bijak

Ia dijadikan penyedap rasa untuk dimakan bersama ulam-ulaman, nasi dan lauk-pauk lain. Menghasilkan budu tidak memerlukan kandang ikan bilis sehingga 500 ekar di daratan.

Begitu juga belacan. Ia dibuat dengan campuran udang geragau dan garam. Perniagaan budu serta belacan turut disertai pelbagai bangsa dan agama. Ia ternyata berbeza dengan perniagaan babi.

Isu babi yang diperkatakan sekarang ialah mengenai pembukaan ladang seluas 500 ekar di Bukit Tagar yang terletak dalam kawasan Hulu Selangor. Sudah tentu lokasinya sangat jauh dari Puncak Borneo.

Populasi Hulu Selangor terdiri daripada majoriti orang Melayu.

Menurut bancian yang dikeluarkan pada 2020, jumlah penduduk di kawasan Parlimen Hulu Selangor ialah seramai 243,029 orang dengan 74.1 peratus daripadanya beragama Islam, manakala 26 peratus bukan beragama Islam.

Pecahannya ialah 12,1 peratus beragama Hindu, kira-kira 10.2 peratus Buddha, 1.9 peratus Kristian, diikuti 0.5 peratus penganut agama lain.

Inilah isunya.

Orang Islam memang sensitif dengan isu babi ini. Mengaitkan memakan babi dengan rasuah adalah tindakan yang kurang bijak.

Rasuah melibatkan perbuatan meminta, menerima, menawar, atau memberi wang, hadiah, jawatan, atau perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk mendapatkan faedah tertentu. Ia melibatkan urusan tugasan rasmi.

Ladang ternakan vertikal

Memakan budu dan belacan – atau babi bagi orang bukan beragama Islam – tidak menjadi suatu kesalahan, kecuali dalam proses tersebut wujud unsur jenayah. Mencuri budu untuk dimakan, contohnya.

Pemilihan makanan juga tidak ada kaitan dengan perbuatan rasuah. Ada kajian menunjukkan orang yang terlibat dalam kegiatan tersebut tidak terkhusus kepada sesuatu bangsa.

Justeru rasuah adalah lebih kepada pilihan individu untuk membuat keputusan bagi dirinya, bukan apa yang dimakan. Tidak mungkin SPRM menyoal siasat seseorang suspek dengan menekankan apa yang dimakan oleh individu terbabit.

Untuk makluman, di China, ada perusahaan penternakan babi secara moden.

Di Ezhou, Hubei itu sebuah bangunan bangunan setinggi 26 tingkat dibina dan beroperasi sejak 2022 sebagai ‘hotel babi’. Ia menempatkan antara 143,000 hingga 650,000 babi yang dipelihara.

Proses di bangunan tersebut menggunakan sistem automasi tinggi seperti paip-paip moden, lif, serta pengolahan sisa buangan menjadi tenaga.

Kemudahan dan kelengkapan sebegitu mungkin boleh difikirkan – jika perlu – babi memastikan wujud daya saing pertanian bagi penternak-penternak babi, selain menjamin keselamatan alam sekitar.

Ia juga tidak memerlukan kawasan seluas sehingga 500 ekar.

Untuk pengetahuan semua, setakat ini belum ada lagi pemakan budu atau belacan yang diserang penyakit Japanese encephalitis atau virus Nipah seperti yang berlaku di Bukit Pelanduk, Port Dickson pada 1998 dan 1999.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam yang pernah bertugas sebagai peguam syarie di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS