Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan sesekali berkompromi dalam hal pelaksanaan tugas di pintu masuk negara termasuk sebarang amalan dikenali sebagai budaya ‘angkat tangan’ yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata berdasarkan rekod, pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi berkaitan dakwaan amalan tersebut di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk ketika musim sibuk.
“Sekiranya terdapat pegawai imigresen dikesan terlibat dalam amalan ini, JIM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas selaras dengan peruntukan akta dan peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan amalan berkenaan berlaku di mana-mana pintu sempadan dan menggesa masyarakat supaya tampil membuat aduan terus kepada jabatan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil.
Zakaria berkata setiap pengembara sama ada warganegara Malaysia atau warga asing, wajib mengemukakan pasport atau Pas Sempadan ketika pemeriksaan imigresen bagi membolehkan pergerakan mereka direkodkan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63.
“Tiada kompromi yang dianggap kecil. Setiap tindakan ‘angkat tangan’ yang disangka remeh adalah permulaan kepada rantaian ketirisan yang boleh membawa bencana, termasuk membuka ruang kepada sindiket jenayah terancang dan kemasukan anasir yang mengancam keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata integriti juga bukan sekadar peraturan, sebaliknya adalah benteng pertahanan terakhir negara dan semua urusan perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard serta perundangan tanpa gagal.
Zakaria turut mengakui pegawai berintegriti tinggi di Kompleks ICQS berdepan tekanan daripada pihak luar dan sindiket yang cuba mempengaruhi tugas mereka, namun golongan itu disifatkan sebagai benteng pertahanan pertama dalam menentang budaya ‘angkat tangan’.
“Tekanan untuk berkompromi adalah nyata dan diiktiraf sebagai cabaran operasi utama oleh pihak pengurusan jabatan,” katanya.
Sebelum ini Bernama melaporkan penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menyifatkan budaya longgar dalam kawalan sempadan negara termasuk individu dibenarkan masuk melalui laluan khas ICQS dengan hanya mengangkat tangan tanpa dokumen sah, dilihat amat membimbangkan kerana ia boleh membuka ruang kepada kegiatan jenayah, penyeludupan dan ancaman keselamatan negara.
Beliau dilapor berkata perkara itu bukan sahaja melanggar prosedur, malah undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) berkaitan kawalan kemasukan, tinggal dan keluar negara serta Akta Pasport 1966 (Akta 150) mengawal urusan pemilikan dan pengemukaan pasport dan dokumen perjalanan bagi individu memasuki atau meninggalkan Malaysia.
Pada November 2025, Bernama melaporkan polis menahan lapan individu termasuk seorang penjawat awam di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas kerana menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand tanpa dokumen perjalanan sah, dengan hanya mengangkat tangan ketika melalui ICQS berkenaan.
Kesemuanya yang menaiki dua kereta mewah ditahan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia yang bertugas di kompleks itu ketika dalam perjalanan dari Sungai Golok, Thailand untuk memasuki Kelantan pada 5.30 petang.
- Bernama
