Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi berjumlah jutaan ringgit yang diperintahkan kepada Pastor Raymond Koh dan isterinya, Susanna Liew.
Hakim Mahazan Taib, yang menyampaikan keputusannya pagi ini, berkata kerajaan berjaya membuktikan kewujudan keadaan khas di bawah Perintah 45 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mewajarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu mendapati, berdasarkan imbangan keadilan, tiada prejudis terhadap Koh dan isterinya selaku responden sekiranya penangguhan diberikan.
“Ganti rugi itu tidak akan dibayar kepada responden pertama (Koh) dalam apa jua keadaan. Tiada sebarang dakwaan mengenai ketidakmampuan kewangan atau pelupusan aset oleh pihak kerajaan.
“Selain itu, tiada keperluan kewangan mendesak yang dibuktikan.
“Sebaliknya, penolakan penangguhan akan mendedahkan pemohon kepada kesan pentadbiran dan kewangan yang tidak boleh dipulihkan, walaupun penghakiman itu sedang dirayu.
“Setelah menimbang semua keadaan, saya berpuas hati bahawa imbangan keadilan jelas memihak kepada mengekalkan status quo sementara menunggu penentuan rayuan,” kata hakim itu.
Keputusan ini bermakna kerajaan memperoleh penangguhan sementara daripada membayar ganti rugi terkumpul RM10,000 sehari kepada Koh, selain ganti rugi kewangan lain yang diperintahkan mahkamah, seperti disahkan oleh peguam Liew, Michelle Wong, kepada Malaysiakini selepas prosiding hari ini.
Wong turut mengesahkan bahawa keputusan hari ini juga untuk menangguhkan perintah mahkamah lain, termasuk arahan supaya pihak berkuasa membuka semula siasatan terhadap penculikan Koh, serta pelantikan Amanah Raya Berhad pada 8 Dis lalu sebagai pemegang amanah Koh.

“Kerajaan memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap keseluruhan penghakiman dan perintah susulan pada 8 Disember. Ini bermakna pengiraan (ganti rugi terkumpul harian) terhenti hari ini,” kata Wong.
Latar belakang kes
Koh diculik oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, ketika dalam perjalanan ke rumah seorang rakan. Dia berusia 62 tahun ketika kejadian.
Rakaman CCTV yang dipercayai berkaitan insiden itu menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga SUV hitam terlibat dalam penculikan Koh.
Isterinya kemudian memfailkan saman berhubung kehilangan Koh pada 13 Feb 2020, menamakan 13 pihak sebagai defendan, termasuk kerajaan, ketua polis negara (KPN), bekas KPN Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun, serta beberapa pegawai polis.
Turut dinamakan ialah bekas pekerja kontrak Cawangan Khas, Saiful Bahari Abdul Aziz, yang Toyota Vios berwarna emas miliknya dikaitkan dengan penculikan Koh dan Amri.

Saman itu mendakwa hak plaintif telah dilanggar melalui penculikan Koh dengan kegagalan menjelaskan keberadaannya, kecuaian dan/atau salah laku oleh penjawat awam.
Sebagai remedi, plaintif memohon perintah mahkamah supaya defendan mengenal pasti dan mendedahkan keberadaan Koh.
Mereka juga memohon agar polis diarahkan menangkap Saiful, yang masih bebas, dan membawanya ke mahkamah untuk memberi keterangan bersumpah mengenai penglibatannya serta kenderaan miliknya dalam penculikan Koh.
Lebih RM38 juta perlu dibayar
Pada 5 Nov tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Su Tiang Joo memerintahkan defendan membayar RM10,000 sehari sebagai ganti rugi kepada Koh, dikira dari tarikh penculikannya pada 13 Feb 2017 sehingga beliau ditemui.
Hakim itu turut menganugerahkan RM4 juta ganti rugi, RM1 juta ganti rugi aggravasi kerana kelewatan berpanjangan menemui Koh, serta RM1 juta lagi bagi tindakan tidak berperlembagaan terhadapnya oleh defendan.

Dia menyatakan jumlah itu bukan ditentukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya dirujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes penahanan salah.
Mahkamah juga mengarahkan polis membuka semula siasatan kes itu dan melaporkan perkembangan kepada peguam negara setiap dua bulan.
Jumlah keseluruhan ganti rugi yang perlu dibayar kepada Koh, termasuk ganti rugi terkumpul harian, melebihi RM38 juta berdasarkan pengiraan sehingga 26 Jan 2026.
Mahkamah turut memerintahkan bayaran berasingan berjumlah RM3 juta kepada isterinya, iaitu RM2 juta sebagai ganti rugi am dan aggravasi atas tekanan mental, serta RM1 juta sebagai ganti rugi teladan.
Su juga melantik Amanah Raya Berhad pada 8 Disember lalu untuk menguruskan pampasan kewangan yang diperintahkan mahkamah kepada Koh, susulan persetujuan antara plaintif dan defendan.
