PARLIMEN l Kerajaan mengakui wujud persepsi bahawa sumbangan dana politik boleh membuka laluan kepada projek kerajaan, dan usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik bertujuan menutup tanggapan tersebut, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Menurutnya, isu berkenaan adalah antara kebimbangan utama yang dibangkitkan pelbagai pihak dalam sesi libat urus berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang sedang dirangka.
“Kita perlu faham bahawa penggubalan RUU ini belum selesai dan masih dalam perbincangan tetapi saya setuju bahawa persepsinya adakah pihak yang menyumbang dapat memperoleh kontrak dan sebagainya mendapat kelebihan.
“Ini adalah antara maklum balas utama yang diterima dan kenapa rang undang-undang ini diusahakan, supaya dapat mengatasi persepsi-persepsi yang sedemikian dan juga mengelak pihak-pihak yang menyumbang wang kepada parti-parti politik atau individu yang tidak menyumbang yang menjadi persepsi bahawa kerana saya menyumbang saya dapat projek dan sebagainya,” katanya sewaktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Kulasegaran menjawab soalan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) yang meminta perdana menteri menyatakan perkembangan cadangan kerajaan untuk menggubal Akta Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor turut menyifatkan isu memastikan sumbangan dana politik tidak diterjemahkan kepada kelebihan mendapatkan projek kerajaan sebagai relevan.
“Apa yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pulai itu sangat relevan,” katanya.
Dalam soalan tambahan, Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) meminta jaminan bahawa undang-undang pendanaan politik kelak tidak akan dilaksanakan secara terpilih.
“Menteri, memang serius nak buat ya? Sekarang ini saya nak pastikan sama ada kerajaan ini boleh beri komitmen untuk berlaku adil kepada semua parti politik. Jangan digunakan terhadap pembangkang sahaja dan tidak beri keadilan kepada pembangkang, itu yang saya nak pastikan,” katanya.
Mohamad Zulkifly turut mencadangkan supaya kontraktor yang aktif mendapatkan projek kerajaan tidak dibenarkan menyumbang kepada parti politik bagi mengelakkan amalan membeli pengaruh.

“Kalau boleh, kontraktor yang aktif dengan kerajaan ini jangan diterima sumbangan mereka sebab akan ada amalan membeli pengaruh. Kita kena terus jangan terima,” katanya.
Menurutnya, pemberian projek bernilai besar dalam tempoh singkat boleh mewujudkan persepsi tidak sihat, termasuk melibatkan syarikat luar.
“Contohnya syarikat yang cepat kaya hasil projek kerajaan, dalam masa terdekat jadi jutawan atau billionaire. Ini yang kita nak elakkan, termasuk sumbangan daripada syarikat luar. Contohnya NED, mereka inilah yang beri sumbangan sehingga pembangkang dahulu menjadi kerajaan sekarang. Yang macam inilah yang kita tak mahu terima,” katanya.
Menjawab perkara itu, Kulasegaran menegaskan komitmen kerajaan untuk menggubal undang-undang pendanaan politik, namun mengakui proses tersebut memerlukan penelitian menyeluruh.
“Komitmen itu ada, tetapi kita juga perlu mengambil kira sejarah. Ketika kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan pada tahun 2020, kerajaan selepas itu mempunyai lebih dua tahun untuk menggubal undang-undang ini, tetapi peluang keemasan itu tidak dimanfaatkan,” katanya.

Dia berkata kerajaan mengambil maklum cadangan ahli Parlimen Besut dan menegaskan usaha kawal selia pendanaan politik kini diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pilihan (JKPK).
“Inisiatif ini berada dalam penelitian JKPK dan Ahli Berhormat sendiri adalah anggota jawatankuasa tersebut. Ahli Parlimen Besut lebih arif bahawa usaha ini sedang dijalankan bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan perlu mengambil inisiatif untuk menyegerakan usaha tersebut dan kerajaan kekal komited melaksanakannya.
“Kerajaan sememangnya komited, malah lebih 100 peratus,” katanya.
Terdahulu, Kulasegaran memaklumkan sebanyak 20 siri libat urus telah diadakan bersama pihak berkepentingan, termasuk 12 sesi di peringkat negeri yang melibatkan 1,544 peserta daripada pelbagai latar belakang.
Hasil dapatan siri libat urus itu, bersama kajian persepsi awam yang sedang dijalankan, akan digabungkan bagi membentuk parameter dasar RUU Pendanaan Politik sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan seterusnya.
Februari tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mencadangkan supaya penggubalan Akta Pendanaan Politik disegerakan dengan memberi tumpuan kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.

Azam dilaporkan berkata cadangan itu telah diutarakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Osman Said, yang berpandangan undang-undang berkenaan sangat ideal digubal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Penggubalan RUU itu bertujuan mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik di Malaysia, sekali gus meningkatkan imej kerajaan dan negara.
Laporan oleh Shakira Buang, Alyaa Alhadjri dan Zarrah Morden
