Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen yang membahaskan titah diraja meminta penjelasan lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai implikasi dasar yang membenarkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan yang hanya menduduki kertas Bahasa Melayu dan Sejarah untuk Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).

Chow Yu Hui (PH-Raub) berkata, ketika ini hampir semua universiti meletakkan satu syarat asas itu semua warganegara Malaysia yang ingin memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mestilah memiliki sijil SPM atau sekurang-kurangnya lima kredit dalam peperiksaan tersebut.

Syarat itu juga, katanya, turut membabitkan pelajar sekolah persendirian Cina yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) mereka.

"Persoalannya jelas: jika pelajar UEC hanya dibenarkan menduduki dua subjek SPM, adakah mereka sebenarnya memenuhi syarat kemasukan umum IPTA?

"Jika tidak, maka pengiktirafan UEC dalam bentuk sedia ada berisiko menjadi pengiktirafan yang tidak lengkap, dan pelajar UEC tetap berhadapan dengan halangan institusi," katanya.

Justeru Chow menggesa KPT memberikan penjelasan menyeluruh mengenai kedudukan pemegang UEC dalam kerangka syarat kemasukan ke IPTA yang dilaksanakan sekarang.

Sabtu lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kementerian Pendidikan akan meminda dasarnya untuk membenarkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan menduduki kertas Bahasa Melayu dan Sejarah untuk SPM.

Setiausaha Agung DAP itu berkata semua pelajar sekolah bukan kerajaan - termasuk sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa, dan sekolah agama - yang memperoleh kredit dalam Bahasa Melalyu serta lulus Sejarah akan layak memohon memasuki IPTA.

Kata Chow, penyelesaian yang lebih mudah untuk merungkai isu tersebut ialah kerajaan menjadikan UEC sebagai suatu kategori prauniversiti yang setaraf dengan kelayakan antarabangsa lain, seperti International Baccalaureate (IB), A-Level, Australian Matriculation, atau bahkan peperiksaan kemasukan universiti dari negara lain.

"Hari ini, banyak IPTA di negara kita mampu menerima pelajar dari China yang tidak pernah menduduki peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.

"Persoalan yang timbul ialah: mengapa pelajar warganegara Malaysia yang telah mengikuti kurikulum UEC dan pada masa yang sama menduduki peperiksaan SPM bagi Bahasa Melayu dan Sejarah masih sukar diterima masuk ke universiti awam dibawah laluan pengambilan langsung?

"Dari sudut logik dasar, keadaan ini sukar untuk dipertahankan.

"Jika pelajar antarabangsa tanpa kelayakan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah boleh diterima, maka adalah tidak munasabah jika pelajar tempatan yang telah memenuhi keperluan Bahasa Melayu dan Sejarah masih berdepan halangan," katanya.

Chow menambah realiti semasa mendedahkan bahawa isu sebenar bukanlah keupayaan akademik pelajar UEC, sebaliknya kekaburan dan ketidakselarasan dalam dasar kemasukan universiti.

Pada masa sama, Chow berkata pembaharuan yang lebih besar juga diperlukan dalam keseluruhan sistem kemasukan universiti yang dianggapnya masih “tidak setara” antara lepasan STPM dan lepasan matrikulasi.

"Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan satu reformasi yang lebih berani dan strategik, iaitu menyatukan STPM dan matrikulasi ke dalam satu sistem peperiksaan prauniversiti yang baru.

"Saya mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu sistem peperiksaan nasional yang diselaraskan, yang boleh dikenali sebagai New STPM.

"Sistem ini perlu mempunyai standard akademik yang sama, struktur penilaian yang telus, dan tahap kesukaran yang setara untuk semua pelajar, tanpa mengira latar belakang sekolah, tetapi kita boleh melaksanakan 'markah bonus sosioekonomi' untuk pelajar dari keluarga yang kurang upaya.

"Dalam sistem berkenaan, pelajar dari kategori ini akan diberikan penggandaan markah sebanyak 1.05 kali dalam sistem merit," katanya.


Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, Shakira Buang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS