Ketegangan berterusan antara Umno dan Amanah kini merebak melampaui Johor dan Melaka, dengan Amanah Kedah menjadi negeri terbaru membayangkan kemungkinan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Biro Amanah Kedah hari ini menyatakan bahawa mereka mengambil maklum mengenai kecenderungan serupa yang disuarakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri itu, dan memilih untuk menghormati keputusan tersebut.
“Justeru, Amanah Kedah turut menghormati pendirian Umno/BN Kedah kerana ia adalah pendiriannya menentukan hala tuju pada PRU 16 depan,” kata parti itu dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jelas biro itu lagi, keputusan tersebut merupakan salah satu resolusi yang dicapai hasil daripada pemukiman jentera pilihan raya Amanah Kedah yang berlangsung pada 23 dan 24 Jan lalu.
Susulan Perhimpunan Agung Umno awal bulan ini, beberapa pemimpin Umno Kedah dipetik laporan media sebagai menyokong autonomi biro Umno negeri untuk menentukan strategi politik sendiri tanpa membabitkan kerajaan Perpaduan.
Tindakan kedua-dua parti ini dilihat sebagai satu pertaruhan berisiko memandangkan Umno dan Amanah mengalami kekalahan total dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 2023.
Perikatan Nasional (PN) menguasai negeri itu dengan kemenangan besar menyapu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki tiga kerusi dimenangi oleh rakan sekutu Amanah, iaitu PKR dan DAP daripada Pakatan Harapan (PH).
Ketegangan antara Amanah dan Umno memuncak semalam selepas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros menyelar pemimpin Amanah, Khalid Abdul Samad dan Aminolhuda Hassan.
Khalid dan Aminolhuda sebelum ini turut memberi bayangan untuk bertanding secara bersendirian dalam PRN Melaka dan Johor akan datang.
Membalas kenyataan Khalid, Akmal yang juga Adun Merlimau di Melaka, mencadangkan agar kedua-dua parti "lawan" sahaja, manakala Noor Azleen mencabar Aminolhuda menamakan calon menteri besar Johor jika Amanah berhasrat mencabar rakan sekutu kerajaan itu.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Amanah Kedah memaklumkan mereka telah mengenal pasti kerusi DUN dan Parlimen yang bakal ditandingi pada PRU akan datang.
Antara kerusi DUN yang menjadi sasaran di Kedah termasuklah Kuah, Bukit Kayu Hitam, dan Bandar Baharu, manakala Pokok Sena dan Jerai dikenal pasti sebagai kerusi Parlimen yang berpotensi.
Parti itu menyatakan akan terus mengadakan rundingan bersama rakan gabungan dalam PH bagi memastikan tiada pertindihan kerusi.
“Amanah Kedah menyatakan komitmen akan memberi sokongan padu dan berkerja keras membantu di mana-mana kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi oleh koalisi politiknya iaitu PKR dan DAP pada PRU-16,” tambah kenyataan itu.
Biro Amanah Kedah turut mengarahkan semua bahagian untuk segera menubuhkan dan mengaktifkan jentera operasi pilihan raya di peringkat DUN dan Parlimen di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Mereka juga menekankan fokus untuk menubuhkan jentera pilihan raya di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), khususnya di kerusi-kerusi sasaran.
