Mana-mana pihak atau individu yang tampil membuat laporan penyelewengan atau salah laku melibatkan kepentingan awam perlu memastikan maklumat dilaporkan adalah tepat dan melalui sumber sahih.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata hal ini kerana ada segelintir aduan yang dibuat kepada pihak berwajib tidak lengkap, selain lebih menyerupai surat layang.
“Bagi pihak kerajaan negeri sendiri, kita ada terima aduan dan telah diajukan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun sebahagiannya ialah surat layang.
“Walaupun kita mengalu-alukan budaya untuk tampil membuat aduan, perkara itu mestilah tulen dan ikhlas. Bukan hanya kerana mereka rasa tidak mendapat apa-apa yang diingini, maka mereka ambil jalan itu. Kita tidak mahu amalan seumpama ini berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Integriti dan Anti Rasuah Perak 2026 serta Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Cleen (KMC) Peringkat Negeri Perak 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh hari ini.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya SPRM Perak Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Mengulas tentang KMC, Saarani berkata sebanyak 30 jabatan dan agensi kerajaan menyertai program itu yang bermatlamat untuk memperkukuh amalan integriti, khususnya dalam sektor awam.
Beliau berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan program ini selain komited memastikan program itu digerakkan secara inklusif, berfokus dan berkesan melalui kerjasama pelbagai pihak.
“Kesimpulannya, integriti dan kebersihan saling melengkapi dalam membentuk masyarakat yang beramanah dan berdisiplin. Kedua-duanya menuntut konsistensi, kepimpinan melalui teladan dan keberanian untuk membetulkan yang salah dengan hikmah,” katanya.
- Bernama
