Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah antara bukti sistem akauntabiliti SPRM pincang - C4
Diterbitkan:  Jan 26, 2026 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mengeluarkan laporan yang mendedahkan kelemahan serius dalam mekanisme pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Badan pemerhati itu turut memetik skandal perlombongan Sabah dan layanan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei sebagai contoh.

“Skandal rasuah Sabah baru-baru ini dan cara SPRM mengendalikan kes Tei mendedahkan lagi isu akauntabiliti yang berakar umbi, yang terus menghakis keyakinan awam terhadap suruhanjaya itu.

“Adalah jelas bahawa selain memfailkan saman terhadap SPRM, Tei tidak mempunyai saluran lain untuk menuntut keadilan, walaupun suruhanjaya itu terbukti melakukan layanan buruk terhadapnya,” kata C4 dalam satu kenyataan.

Tei, yang merupakan pemberi maklumat dalam skandal tersebut, menyaman SPRM selepas dipaksa memakai baju lokap berwarna oren walaupun belum disabitkan kesalahan. Dia menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan kerajaan sebagai defendan.

Penahanan dramatiknya pada November lalu - dia mndakwa diacu senjata api, namun SPRM menafikannya - telah mencetuskan kritikan meluas.

Walaupun lebih sepuluh ahli politik dikaitkan dengan skandal itu, hanya dua yang didakwa, sekali gus mencetuskan dakwaan bahawa kerajaan dan SPRM sedang melindungi pihak lain daripada pendakwaan.

Kritikan awam meningkat

Dalam ringkasan eksekutifnya, C4 Center menyatakan SPRM berdepan kritikan awam yang semakin meningkat dan kemerosotan kepercayaan akibat kegagalan menangani rasuah besar secara berkesan.

Badan pemerhati itu berkata kebimbangan mengenai pendakwaan terpilih terus menjejaskan keyakinan, terutama apabila perdana menteri memegang kuasa melantik ketua pesuruhjaya SPRM melalui nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Aturan institusi ini mewujudkan konflik kepentingan yang nyata apabila siasatan melibatkan perdana menteri atau sekutu politik dan peribadi mereka," katanya.

C4 Center turut menekankan bahawa sejak penubuhannya pada 2009, tiada kerajaan yang melakukan reformasi besar terhadap SPRM. Sebaliknya, SPRM sendiri dilihat menunjukkan tentangan hebat terhadap cadangan untuk meletakkan suruhanjaya itu di bawah badan pemantau bebas.

Keberkesanan panel pemantau

Pihak yang mempertahankan SPRM sering merujuk kepada kewujudan lima badan pemantau seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Bagaimanapun, C4 Center mempersoalkan keberkesanan kerangka tersebut dan mendedahkan bahawa badan-badan ini sebenarnya hanyalah badan penasihat tanpa kuasa penyiasatan atau penguatkuasaan.

Laporan itu turut mendedahkan beberapa penemuan utama:

Kewujudan banyak badan pemantau tidak bermakna adanya akauntabiliti yang bermakna.

Operasi pemantauan bersifat legap dan dilakukan secara tertutup.

Perdana menteri mempunyai kawalan mutlak terhadap pelantikan dalam SPRM dan badan pemantau.

Kegagalan dan had kuasa

C4 Center menyoroti beberapa kes besar yang menonjolkan kegagalan sistem pemantauan SPRM:

Kematian Teoh Beng Hock (2009): Tiada individu didakwa walaupun terdapat dapatan salah laku oleh pegawai SPRM.

Skandal 1MDB: Kurang setahun selepas dakwaan penyelewengan RM2.6 bilion oleh bekas perdana menteri Najib Razak didedahkan, peguam negara yang baru dilantik ketika itu, Apandi Ali, terus membersihkannya daripada semua salah laku.

SPRM kemudian memaklumkan akan menyemak kes ini dengan Panel Penilaian Operasi (PPO). Namun, Apandi menjawab dengan mengatakan bahawa, "mana-mana badan yang dibentuk untuk mempersoalkan sebarang keputusan Peguam Negara adalah bertentangan dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan";

Skandal pemilikan saham Azam Baki (2021): Pendedahan oleh seorang wartawan penyiasat mendakwa penglibatannya dalam pembelian berjuta-juta saham dalam sebuah syarikat, yang secara langsung melanggar pelbagai peraturan perkhidmatan awam.

Walaupun terdapat dakwaan serius yang mencemarkan reputasinya, kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya terus disambung.

Pengabaian laporan tahunan JKMR: Di sebalik kewajipan di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009 yang mewajibkan perdana menteri untuk membentangkan laporan SCC kepada Parlimen, laporan bagi 2020 – yang hanya diterbitkan pada tahun 2022 – bersama-sama dengan pelbagai cadangannya belum dibentangkan di Parlimen.

Perbicaraan Syed Saddiq (2025): Mahkamah Rayuan akhirnya membebaskan Syed Saddiq daripada tuduhan rasuahnya turut menarik perhatian kepada tiga insiden intimidasi saksi oleh pegawai SPRM.

Saranan reformasi

Bagi mengatasi kelemahan ini, C4 Center mencadangkan:

  • Meluaskan bidang kuasa Ombudsman Malaysia untuk merangkumi SPRM.

  • Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen khusus untuk memantau SPRM.

  • Menjadikan badan pemantau sedia ada sebagai badan sokongan sahaja, sementara kuasa pemantauan sebenar diserah kepada Parlimen.

  • Mengasingkan pejabat Peguam Negara daripada Pendakwa Raya.

Laporan penuh C4 boleh dibaca di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS