Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi kepada keluarga seorang penggali kubur yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 2019 kepada RM97,600.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Azimah Omar, yang bersidang bersama-sama hakim-hakim Mahkamah Rayuan iaitu Azizul Azmi Adnan dan Lim Hock Leng, membuat keputusan itu selepas mengetepikan ganti rugi teruk RM50,000 yang sebelum ini diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada ibu si mati, Fadhelah Othman.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan ganti rugi sebanyak RM57,600 bagi kehilangan kebergantungan, RM30,000 untuk kesakitan dan penderitaan dan RM10,000 sebagai ganti rugi khas.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu secara dalam talian, Lim menolak rayuan balas Fadhelah yang memohon jumlah ganti rugi teruk dan bagi kehilangan kebergantungan dinaikkan.
Mahkamah turut menolak rayuan kerajaan dan polis yang memohon agar dapatan bahawa mereka bertanggungjawab atas kecuaian dalam kematian Mohd Fadzrin Zaidi diketepikan.
Panel itu tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Lim berkata panel itu mendapati bahawa tiada perlakuan keterlaluan oleh anggota polis yang mewajarkan pemberian ganti rugi teruk.
“Kecuaian semata-mata tidak melayakkan pemberian ganti rugi teruk sebagai satu hak,” katanya sambil menambah bahawa ganti rugi itu tidak sepatutnya diberikan dalam kes ini.
Ketika mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi mengenai liabiliti, dia berkata tindakan Mohd Fadzrin membunuh diri hanya boleh berlaku akibat pelanggaran kewajiban statutori dan undang-undang oleh defendan iaitu kewajipan mencegah kemudaratan sama ada dilakukan orang lain atau dirinya sendiri.
Pada Mei 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Fadhelah dan memutuskan bahawa pihak polis cuai kerana gagal menghalang Mohd Fadzrin, 29, membunuh diri ketika dalam tahanan serta mendapati kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas kecuaian itu.
Mahkamah Tinggi kemudian memberikan jumlah ganti rugi keseluruhan sebanyak RM147,600 kepada Fadhelah dan RM50,000 sebagai kos.
Mohd Fadzrin telah ditahan oleh polis semasa serbuan dadah pada 20 Nov 2019 dan direman selama seminggu dengan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di mana dia ditemukan tergantung di dalam sel pada awal pagi keesokan harinya.
Pada prosiding hari ini, peguam M Visvanathan, Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan mewakili Fadhelah manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb hadir bagi pihak polis serta kerajaan.
-Bernama
