Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
CAS benarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kembali beraksi
Diterbitkan:  Jan 27, 2026 9:03 AM
Dikemaskini: 1:03 AM

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini, dibenarkan meneruskan karier mereka serta menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan tujuh pemain terlibat.

Tujuh pemain tersebut ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu, dan mereka dibenarkan meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” menurut kenyataan FAM.

Pada 26 Sept lepas, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Kuala Lumpur pada Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov lepas, menolak rayuan FAM dan kesemua pemain sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

Justeru, FAM tidak mempunyai pilihan selain membawa kes itu ke CAS bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan badan berkaitan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS