Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC teliti prosiding menghina mahkamah ke atas Shafee
Diterbitkan:  Jan 27, 2026 11:17 AM
Dikemaskini: 5:13 AM

PARLIMEN l Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti sama ada prosiding penghinaan mahkamah boleh dimulakan terhadap peguam Najib Razak susulan kenyataannya berhubung keputusan mahkamah mengenai penahanan rumah bekas perdana menteri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata perkara itu sedang diteliti oleh AGC sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Azalina Othman Said (BN-Pengerang)

"Berdasarkan input yang diterima oleh Jabatan Peguam Negara, AGC akan meneliti isu berkaitan prosiding penghinaan mahkamah terhadap peguam terhadap peguam bekas perdana menteri, Mohamad Shafee Abdullah untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa unsur penghinaan mahkamah sebelum tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya.

Azalina berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang meminta perdana menteri menyatakan sama ada AGC bercadang memulakan prosiding terhadap Shafee.

Ia berhubung kenyataan peguam itu bahawa keputusan mahkamah berkaitan penahanan rumah Najib telah mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri dalam urusan pengampunan.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor)

Kenyataan Shafee itu mencetuskan kritikan kerana menyentuh peranan dan kuasa institusi Raja-Raja dalam proses pengampunan, satu perkara yang lazimnya dianggap sensitif dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun, jawapan kerajaan setakat ini menunjukkan tiada keputusan muktamad dibuat, dengan AGC hanya berada pada peringkat penelitian awal.

Isu ini menambah senarai panjang kes berprofil tinggi yang menyaksikan kerajaan memilih pendekatan berhati-hati, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada prinsip kesaksamaan di hadapan undang-undang benar-benar diterapkan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh individu terlibat.

Pada Mei tahun lalu, AGC memaklumkan akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Muhammad Shafee yang secara terbuka menyamakan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan "pendengaran ala Nazi-Jerman".

Najib Razak

Menurut AGC, kenyataan itu dibuat dalam konteks kes yang masih berjalan merupakan serangan serius dan tidak wajar terhadap maruah, kewibawaan dan kebebasan badan kehakiman.

"Walaupun peguam berhak mencabar keputusan kehakiman melalui saluran undang-undang yang sewajarnya, kenyataan dibuat secara awam yang mencemarkan imej mahkamah atau menggugat keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan tidak boleh diterima dalam sistem perundangan kita,” kata AGC.

"Peguam Negara memandang serius perkara ini sebagai isu yang melibatkan kepentingan Perlembagaan dan institusi," menurut AGC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS