Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kedaulatan Sabah Mutlak: Malaysia tutup tuntutan Sulu'
Diterbitkan:  Jan 27, 2026 12:06 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

PARLIMEN l Malaysia hari ini menegaskan pendirian tegas untuk tidak lagi melayan sebarang tuntutan daripada pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, sekali gus menyifatkan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia sebagai sesuatu yang mutlak dan tidak boleh dicabar.

Ini disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau)

Mengulas perkembangan di peringkat antarabangsa, Azalina memaklumkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan Perancis telah membatalkan ‘Award Akhir’ baru-baru ini adalah satu “kemenangan besar” yang secara teknikalnya telah melumpuhkan cubaan memeras wang dan aset negara.

“Kemenangan ini sekaligus telah menamatkan semua cubaan tidak berasas daripada penuntut Sulu serta pembiaya litigasi mereka untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia,,” katanya.

Menurut Azalina, walaupun penimbang tara kes tersebut, Gonzalo Stampa, telah dikenakan hukuman penjara, kerajaan mengakui bahawa kos yang terpaksa ditanggung oleh Malaysia untuk melawan tuntutan ini di pelbagai bidang kuasa adalah sangat tinggi.

Justeru, katanya, kerajaan kini sedang memperincikan strategi untuk menuntut semula segala kos kerugian tersebut.

Menjawab keraguan mengenai bayaran pajakan, Azalina mengesahkan bahawa Malaysia telah menghentikan sepenuhnya sebarang bentuk bayaran kepada pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu sejak tahun 2013.

Tindakan itu diambil sebagai tindak balas langsung terhadap pencerobohan bersenjata di Lahad Datu yang bukan sahaja mencabuli kedaulatan tanah air, malah mengorbankan 10 wira negara.

"Kerajaan menegaskan bahawa tiada lagi sebarang obligasi bayaran akan dibuat kepada mana-mana pihak... kerana kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah mutlak dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," tambahnya.

Bagi memastikan isu ini tidak lagi 'menghantui' kepentingan negara, Azalina berkata, kerajaan komited untuk menggunakan dua jalur utama:

  • Saluran Perundangan Antarabangsa: Menyekat sebarang cubaan penguatkuasaan award di negara lain.

  • Diplomasi: Mengukuhkan pengiktirafan antarabangsa terhadap integriti wilayah Malaysia.

Langkah ini dilihat sebagai langkah proaktif bagi memastikan tiada lagi pihak luar atau pembiaya dana litigasi (litigation funders) yang cuba mengambil kesempatan ke atas kedaulatan negara demi keuntungan kewangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS