Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1 sekolah rendah.

Katanya, langkah itu perlu diteruskan demi masa depan generasi muda dan daya saing negara.

Menurutnya, lebih 137 negara di dunia atau sekitar 71 peratus telah melaksanakan dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun 1, justeru Malaysia tidak wajar ketinggalan dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.

“Kalau kita tangguh setahun lagi, anak-anak kita rugi setahun dan generasi sekarang tidak seperti dulu. Umumnya jauh lebih dewasa, lebih pintar , lebih peka. Jadi, bagilah mereka ruang dan jangan kita fikir tahap pemikiran kita yang lama.

“Memang, kita tak boleh (tangguhkan). Sebab anak-anak kita jauh lebih pintar tapi yang penting beri pendedahan kepada mereka,” katanya dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu, apakah kajian terperinci telah dibuat mengenai kemasukan murid Tahun 1 sama ada pada usia enam tahun atau tujuh tahun, serta tahap kesiapsiagaan kerajaan bagi pelaksanaan dasar tersebut termasuk implikasi kepada kebajikan murid.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui terdapat kebimbangan mengenai tahap kesiapsiagaan sistem pendidikan termasuk dari aspek infrastruktur, latihan guru dan kapasiti sekolah, namun menegaskan kerajaan telah dan sedang mengambil langkah-langkah persediaan yang signifikan.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penambahan kemudahan prasekolah dengan sebanyak 150 bilik darjah diperluaskan pada 2025 dan 350 bilik darjah baru pada 2026, melibatkan 6,469 institusi di seluruh negara.

Kerajaan juga memperuntukkan tambahan RM800 juta dalam Belanjawan bagi memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan kira-kira 18,000 guru baru, dengan jumlah peruntukan dijangka boleh mencecah RM1 bilion.

“Dana kita sediakan. Guru disediakan. Kemudahan disediakan. Nak kata sempurna mungkin tidak, tetapi kita tidak boleh menunggu sehingga semuanya sempurna,” katanya.

Mengulas kebimbangan bahawa pelajar akan dijadikan ‘tikus makmal’, Anwar menolak dakwaan itu dan menegaskan pelaksanaan dibuat berdasarkan pengalaman antarabangsa serta persediaan berfasa oleh kementerian berkaitan.

Anwar turut menjelaskan bahawa pada peringkat awal, kemasukan murid enam tahun tidak diwajibkan sepenuhnya bagi memberi ruang kepada ibu bapa, namun menggalakkan penyertaan demi perkembangan awal kanak-kanak.

“Nasihat saya sebagai seorang guru, sebaiknya ibu bapa beri peluang kepada anak-anak. Negara tidak boleh ketinggalan hanya kerana kita terlalu berhati-hati,” katanya.

Anwar menegaskan, sebarang kelemahan dalam pelaksanaan tersebut akan ditangani segera melalui kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Ujian diagnostik kemasukan Tahun 1 tak dilaksana

Dalam pada itu, Anwar juga berkata Kementerian Pendidikan telah bersetuju menarik balik ujian diagnostik khas kemasukan ke Tahun 1 bagi murid enam tahun.

Katanya, ujian tersebut dikhuatiri boleh bersifat diskriminasi dan memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.

Katanya, jika ujian itu diteruskan akan ada kanak-kanak dibenarkan masuk ke Tahun 1, manakala yang lain pula diletakkan di prasekolah kerana dilihat sebagai tidak layak, kurang cerdik dan sebagainya.

"Selepas menyemak semula perkara ini, Menteri Pendidikan mencadangkan agar ujian diagnostik itu dimansuhkan.

"Berdasarkan syor daripada menteri, saya bersetuju supaya ia dibatalkan agar proses itu dipermudahkan," katanya.

Anwar berkata demikian bagi menjawab cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) supaya kerajaan menilai semula keperluan ujian saringan berkenaan.

Minggu lalu, Anwar melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memperkenalkan dasar membenarkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak ke sekolah pada usia enam tahun, setahun lebih awal daripada umur kemasukan semasa iaitu tujuh tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS