PARLIMEN l Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan tuntutan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Pulau Pinang adalah tidak berasas dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip federalisme Malaysia.
Katanya, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan kedudukannya diperkuatkan lagi dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukannya kepada sebarang tuntutan sejarah prakemerdekaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa sejak dari awal lagi tuntutan Kedah adalah amat tidak wajar dan tidak berasas dari sudut perundangan dan bertentangan sama sekali dengan prinsip Persekutuan Malaysia yang kita junjung bersama sejak sekian lama.
“Dari sudut perundangan juga jelas menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia yang mana selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat setaraf dengan negeri-negeri lain termasuk Kedah.
“Kedudukan ini diperkuatkan lagi apabila Perjanjian Malaysia 1963 dimeterai dan sejak itu Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukannya kepada mana-mana tuntutan sejarah pra-kemerdekaan,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut Chow berkata, sempadan negeri Pulau Pinang dan Kedah turut ditetapkan secara sah melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325] yang digubal di Parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam sistem persekutuan, sempadan negeri tidak boleh diubah secara sewenang-wenangnya apatah lagi melalui kenyataan politik tanpa proses perundangan yang sah dan tuntutan ini jelas bercanggah dengan semangat federalisme,” katanya.
Chow turut memberi amaran bahawa jika tuntutan sedemikian dibenarkan, ia boleh membuka ruang kepada tuntutan lain yang berpotensi menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
“Perlu diingatkan bahawa persekutuan Malaysia dibina atas prinsip kesetaraan negeri dan penghormatan terhadap kedaulatan masing-masing.
“Dan jika tuntutan sebegini dibenarkan, maka kita sebenarnya membuka ruang kepada tuntutan-tuntutan lain yang boleh menggugat kestabilan negara pada masa akan datang,” tegasnya.
Chow turut merujuk tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah sebagai contoh bagaimana tuntutan sejarah tidak boleh mengatasi kedaulatan berperlembagaan.
Katanya, pendirian konsisten kerajaan Malaysia dalam pelbagai prosiding undang-undang menunjukkan bahawa kedaulatan negeri ditentukan oleh Perlembagaan dan pengiktirafan antarabangsa.
Dalam masa sama, Chow menggesa semua pihak menghentikan retorik politik yang boleh menimbulkan kekeliruan awam serta menjejaskan hubungan antara negeri.
“Sudah tiba masanya kita menghentikan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Untuk rekod, pada 2021, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, selepas pajakan itu tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Pada awal Januari tahun ini Muhammad Sanusi dilaporkan berkata kerajaan negeri yakin proses perundangan berhubung tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dapat dimulakan tahun ini selepas kerja menganalisis dokumen berkaitan selesai.
Katanya pasukan perundangannya sedang melihat sudut undang-undang yang sesuai sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
Kata Muhammad Sanusi, usaha itu mengambil masa kerana banyak dokumen perlu diteliti dan semua proses perlu dibuat secara teratur serta lengkap.
